Friday , 21 June 2019

Home » Nasional » “Longest non-stop Al-Quran recital” dicatat dalam Malaysia Book Of Record

“Longest non-stop Al-Quran recital” dicatat dalam Malaysia Book Of Record

May 23, 2019 6:24 am Category: Nasional A+ / A-
“Longest non-stop Al-Quran recital” dicatat dalam Malaysia Book Of Record

KUALA NERUS,. Program Mengaji Tanpa Henti Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencatat sejarah apabila dicatat dalam Malaysia Book Of Record (MBOR) sebagai “Longest Non-Stop Al-Quran Recital.”

Kejayaan itu tercapai selepas 500 peserta yang terdiri daripada mahasiswa, kanak-kanak, komuniti setempat, orang kelainan upaya (OKU), golongan mualaf serta penuntut antarabangsa berjaya melakukannya selama 123 jam tanpa henti dan lima kali khatam.

Naib Canselor UMT, Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata sepanjang tempoh tersebut, peserta terbabit telah bertadarus dan mentadabbur ayat-ayat suci Al-Quran 24 jam sehari secara bergilir-gilir.

“Program pada tahun ini sangat bermakna kerana ia genap 10 tahun penganjuran yang dimulakan pada 2009.

“Program ini cuba menerapkan budaya membaca Al-Quran sepanjang masa dan di mana-mana sahaja bukan sahaja di kalangan penuntut UMT malah komuniti luar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Penyerahan Sijil MBOR: Longest Non-Stop Al-Quran Recital di Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT di sini petang tadi.

Sijil tersebut disampaikan oleh Eksekutif Akaun MBOR, Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi kepada Nor Aieni.

Sementara itu, Nor Aieni berkata UMT telah mengagihkan sumbangan zakat kepada 403 asnaf UMT yang memerlukan pada bulan Ramadan tahun ini dimana ia diterima daripada Al-Islah Etiqa Takaful Berhad Etiqa Family bagi meringankan beban mahasiswa dalam membuat persiapan raya.

“Data UMT menunjukkan 80.2 peratus mahasiswa adalah terdiri daripada keluarga B40. Oleh itu kita amat mengalu-alukan sumbangan zakat daripada agensi korporat untuk membantu mahasiswa yang semakin terbeban dengan pelbagai kos pada masa ini,” tambahnya.

— BERNAMA

scroll to top