Thursday , 18 October 2018

Home » Nasional » MA63: ‘Tidak perlu kajian semula, laksanakan audit pelaksanaan’

MA63: ‘Tidak perlu kajian semula, laksanakan audit pelaksanaan’

September 18, 2018 6:55 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
MA63: ‘Tidak perlu kajian semula, laksanakan audit pelaksanaan’

Tan Sri Dr James Jemut Masing

KUCHING,. Presiden Parti Rakyat Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing mempertikaikan cadangan kerajaan Pakatan Harapan untuk mengkaji semula Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) seperti yang diumumkan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Kota Kinabalu malam tadi.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata MA63 merupakan perjanjian yang diperakukan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan untuk menubuhkan Persekutuan Malaysia.

“Justeru, biarlah tiga penandatangan terlibat melakukan audit, sama ada terdapat pelanggaran terhadap pemahaman MA63.

“Sekiranya terdapat sebarang pelanggaran maka ketiga-tiga penandatangan akan memutuskan sama ada ia cukup serius untuk membatalkan perjanjian itu,” katanya.

Tegas beliau, kajian semula yang diumumkan Dr Mahathir hanyalah ‘umpan’ untuk menangguhkan proses pelaksanaan perjanjian.

“Selama 55 tahun ‘ditutup mata’ adalah lebih daripada cukup! Sabah dan Sarawak tidak boleh ditipu lagi,” ujarnya.

Katanya, Sabah dan Sarawak kini boleh memulakan kerja-kerja pengauditan perjanjian tersebut, kerana dua daripada tiga penandatangan bermakna sudah cukup kuorum.

“Putrajaya atau Kuala Lumpur boleh menyertai kemudian,” jelasnya lagi.

Dr Mahathir dalam ucapannya malam tadi memaklumkan Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak, setelah kajian Perjanjian Malaysia 1963 disiapkan.

scroll to top