Friday , 21 June 2019

Home » Bisnes » MAHA 2018 sasar lebih 3.5 juta pengunjung tempatan, luar negara

MAHA 2018 sasar lebih 3.5 juta pengunjung tempatan, luar negara

August 30, 2018 8:03 am Category: Bisnes, Ekonomi, Nasional A+ / A-
MAHA 2018 sasar lebih 3.5 juta pengunjung tempatan, luar negara

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub bergambar bersama para Rakan Strategik pada Majlis Countdown MAHA 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini. Turut sama Timbala Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin. - Foto BERNAMA

SERDANG,. Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018 yang akan berlangsung selama 11 hari mulai 22 November depan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini mensasarkan lebih 3.5 juta pengunjung dari dalam dan luar negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pameran itu akan mengekalkan tema ‘Makanan Kita Masa Depan Kita’ dengan tujuan ???????menggariskan kepentingan negara untuk mempertahankan kedaulatan makanan sebagai asas kekuatan negara.

“Selain kekuatan ketenteraan dan diplomatik, kemandirian masa depan Malaysia bergantung kepada kebolehan kita mencapai kemerdekaan dalam aspek pengeluaran makanan,” katanya pada sidang media selepas Program Countdown MAHA2018 di sini, hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub menyampaikan ucapan pada Majlis Countdown MAHA 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini. - Foto BERNAMA

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub menyampaikan ucapan pada Majlis Countdown MAHA 2018 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini. – Foto BERNAMA

Salahuddin berkata MAHA 2018 juga akan menonjolkan kepentingan teknologi dan inovasi pertanian (Agroteknologi) dalam industri Agromakanan negara.

“Melalui kecanggihan Agroteknologi, lebih banyak produk pertanian dapat dihasilkan dengan lebih berkesan, dan secara tidak langsung, dapat menerajui kedaulatan makanan negara,” katanya.

Bagi memastikan masa depan pengeluaran makanan pula, Salahuddin berkata kehadiran generasi pelapis yang mempunyai kemahuan dan kemahiran amat penting dalam memastikan bidang pertanian dan industri asas tani terus maju serta mampu menegakkan kedaulatan negara.

Selain itu, MAHA 2018 turut menampilkan buah durian, nanas, kelapa dan tenusu selain daging sebagai sumber rezeki baharu pertanian yang mampu melahirkan lebih ramai usahawan dan mereka yang mampu muncul sebagai jutawan, dengan menjana kekayaan menerusi hasil pertanian.

Pada kali ini, sebanyak 1,500 khemah jualan dibuka dan sejumlah 70 peratus daripadanya sudah mendapat tempahan daripada peniaga memasarkan produk dan hasil pertanian mereka.

“Ini termasuk 501 menu juadah popular dari semua negeri, produk industri asas tani, buah-buahan dan sayur-sayuran segar, anak pokok dan bunga-bungaan serta ikan dan makanan laut segar,” katanya.

Katanya, 13 pavilion negeri akan dibuka, menampilkan identiti, kebudayaan, pameran dan juadah makanan negeri yang dapat dinikmati oleh pengunjung.

Tambah Salahuddin, enam negara turut mengambil bahagian termasuk China, Vietnam, dan Thailand.

Seperti MAHA yang lalu, semua halaman seperti laman perikanan, laman nanas, laman ternakan dan sebagainya akan ditampilkan semula supaya pengunjung dapat menikmati sendiri pengalaman pertanian secara langsung.

– BERNAMA

scroll to top