Monday , 22 October 2018

Home » Nasional » Mahathir akan menyampaikan syarahan utama di Oxford

Mahathir akan menyampaikan syarahan utama di Oxford

September 24, 2018 7:25 am Category: Nasional A+ / A-
Mahathir akan menyampaikan syarahan utama di Oxford

LONDON,. Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyampaikan syarahan utama di Pusat Pengajian Islam Oxford pada Isnin, semasa bahagian pertama lawatan beliau United Kingdom (UK) sebelum menuju ke New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Siri syarahan unggul itu akan diadakan di auditorium Malaysia pusat berkenaan yang bertemakan “Cabaran Tadbir Baik dalam Dunia Islam “dan akan menjadi kuliah utama Dr Mahathir di negara barat sejak menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-7.

Menurut laman web pusat itu , kuliah Dr Mahathir akan dipancarkan secara langsung di bilik bersebelahan ekoran mendapat permintaan yang tinggi daripada mereka yang mahu mendengarkannya .

Sejak penubuhannya pada tahun 1985, pusat ini telah menampilkan ramai tokoh terkemuka ke Oxford untuk bercakap mengenai pelbagai perkara yang berkaitan dengan dunia Islam.

Di dalam premisnya yang baru, pusat ini mempunyai beberapa ruang kuliah yang khusus termasuk auditorium Malaysia bagi membolehkan perkembangan programnya dengan lebih lanjut.

Semasa menjadi Perdana Menteri ke-4, Dr Mahathir pernah menyampaikan ceramahnya yang terkenal yang bertajuk “Islam Agama yang Diselewengkan” pada lawatan pertamanya ke pusat itu pada tahun 1996.

Dr Mahathir tiba di London Sabtu pagi untuk lawatan kerja bahagian pertama beliau ke UK. Beliau akan berlepas ke New York pada Selasa (25 September) dan kembali semula ke UK pada hari Sabtu (29 Sept) untuk lawatan bahagian kedua.

Lawatan ke UK itu akan menguatkan lagi hubungan persahabatan dan kerjasama antara kedua-dua negara, “kata Wisma Putra.

–BERNAMA

scroll to top