Wednesday , 17 July 2019

Home » Nasional » Mahathir kongsi nilai hidup dan harapan untuk rakyat Malaysia

Mahathir kongsi nilai hidup dan harapan untuk rakyat Malaysia

June 27, 2019 7:02 am Category: Nasional A+ / A-
Mahathir kongsi nilai hidup dan harapan untuk rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR,. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyoroti beberapa nilai kehidupan yang paling beliau hargai ketika memberitahu rakyat Malaysia untuk mempertahan dan memupuk kemerdekaan negara.

Ketika berucap pada konsert edutainment “My Voice My Nation Malaysia 2019’” di sini malam ini, beliau menarik perhatian kepada beberapa perkara penting mengenai kepimpinan, menepati masa, pendidikan, pentingnya disiplin, kebebasan serta perkahwinannya dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang kini sudah menjangkau 63 tahun.

Dalam ucapan selama 20 minit itu, yang mendapat tepukan sebagai penghargaan, perdana menteri berusia 93 tahun itu berkata aspek kepimpinan yang kadang-kadang terlepas pandang ialah keupayaan untuk merasai denyut nadi rakyat biasa.

Beliau berkata kadang-kadang apabila pemimpin daripada golongan aristokrat dan dari keturunan diraja, kecenderungan untuk tidak memahami penderitaan rakyat biasa begitu ketara.

“Pokoknya adalah para pemimpin diketahui begitu terpisah hingga penderitaan yang boleh diselesaikan dibenarkan berterusan,” kata beliau pada acara itu yang berlangsung di Axiata Arena di Bukit Jalil di sini.

84fc76e944aa4f780040ac55f56253225d13a09f73d7f
“Boleh dihujah bahawa orang biasa yang menjadi pemimpin diketahui sering mengabaikan penderitaan warga biasa tetapi itu bukan kerana kejahilan tetapi disebabkan bersikap endah tak endah,” kata Dr Mahathir.

Perdana Menteri berkata beliau juga percaya tentang perlunya rakyat bekerja keras untuk keluar dari kemiskinan dan kesusahan.

Beliau menceritakan pengalamannya menjual pisang goreng semasa zaman pendudukan Jepun dan menegaskan bahawa peluang sentiasa ada jika rakyat benar-benar berusaha mencari.

“Apabila saya berada pada kedudukan mempunyai kuasa, saya menyedari bahawa tidak semua orang mampu mencari peluang dan kadang-kadang mereka yang berkuasa perlu membantu mereka dalam mencari jalan. Tetapi prinsip memberi mereka “pancing dan bukan ikan” itulah yang terbaik,” katanya.

Dr Mahathir juga menarik perhatian betapa bapanya bersikap tegas dalam soal pendidikan dan pada akhirnya beliau percaya bahawa pencapaiannya hari ini adalah hasil daripada disiplin dan pendirian serta pentingnya pendidikan yang tidak boleh dikompromi.

Bercakap mengenai ketepatan waktu dan menghormati masa, Dr Mahathir berkata: “Jika saya mahu orang bekerja keras, saya harus bekerja keras jika tidak lebih. Begitu juga, jika saya mahu orang ramai datang tepat pada waktunya, maka saya juga mesti menepati waktu.”

Semua ini mungkin agak perkara kecil tetapi menepati masa adalah penting.

Dr Mahathir juga memberi penghargaan kepada isterinya kerana setia bersama beliau selama beberapa tahun ini sambil Dr Siti Hasmah tersenyum lebar.

“Dan haikat bahawa beliau seorang doktor memberi manfaat kepada saya terutama pada peringkat usia saya sekarang bahawa saya ditemani oleh seorang doktor di sebelah saya sepanjang masa,” katanya.

Dalam nada yang lebih serius, Dr Mahathir berkata sememangnya menjadi harapan beliau bahawa rakyat Malaysia terutama generasi muda dapat melihat dan menyedari mengapa negara bangun menentang penjajahan dan berjuang menuntut kemerdekaan.

“Saya bernasib baik, atau mungkin tidak bernasib baik, untuk menyaksikan bagaimana rakyat kita diberi layanan buruk dan dikenakan pelbagai bentuk penghinaan oleh penjajah,” kata beliau.

“Mereka mencerobohi rumah kita dan memberitahu kita supaya berkelakuan baik dan menyuruh kita melakukan perkara untuk faedah mereka. Kita terpaksa membiarkan mereka berfikir untuk mereka.

“Mereka merampas kekayaan kita dan kita diminta senyum sahaja dan membantu mereka merompak,” kata beliau tanpa nada berlembut.

Dr Mahathir menyifatkan rakyat Malaysia sekarang bernasib baik sambil berkata : “Saya benar-benar berharap rakyat Malaysia tidak sekali lagi akan mengalami penghinaan ini. Tetapi kemerdekaan bukan sesuatu yang diberi. Anda perlu berusaha untuknya, pertahan memupuknya.”

Turu hadir pada majlis itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes juga menceritakan kisah hidupnya yang penuh motivasi pada acara “My Voice My World”, persembahan televisyen yang disiarkan menerusi Jiangsu Television China.

Acara itu juga menyaksikan penampilan khas oleh skuad paralimpik kebangsaan dan pelancaran Derma Amal Atlet Para.

— BERNAMA

scroll to top