Monday , 23 April 2018

Home » Nasional » Mahkamah batal permohonan Anina untuk merayu

Mahkamah batal permohonan Anina untuk merayu

April 16, 2018 3:01 pm Category: Nasional A+ / A-
Mahkamah batal permohonan Anina untuk merayu

PUTRAJAYA,. Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan permohonan bekas ahli Wanita UMNO Langkawi, Anina Saadudin, bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu dalam kes saman dikemukakannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kes saman itu berhubung dakwaan bahawa Perdana Menteri melakukan perbuatan salah laku dalam jawatan awam dan pentadbiran membabitkan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif membatalkan permohonan itu selepas diberitahu bahawa peguam mewakili Anina menarik diri daripada mendengar permohonan berkenaan.

Turut bersidang, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Balia Yusof Wahi dan Tan Sri Aziah Ali.

Terdahulu, peguam Irzan Iswad yang menyebut bagi pihak peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla memberitahu mahkamah, pihaknya menarik diri daripada mendengar rayuan kes itu.

Irzan berkata, kertas kausa (cause paper) sudah diserahkan kepada Anina pada 5 Mac lalu, bagaimanapun beliau selaku pemohon tidak hadir ke mahkamah hari ini.

“Kami dimaklumkan bahawa pemohon tidak membantah terhadap permohonan kami untuk menarik diri,” katanya.

Panel kemudian membenarkan permohonan peguam untuk menarik diri.

Anina memohon untuk mendapatkan kebenaran merayu dalam kes samannya bersama-sama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan terhadap Najib membabitkan kes 1MDB.

Mahkamah Persekutuan pada 27 Februari lalu menolak permohonan Dr Mahathir dan Khairuddin bagi kebenaran untuk merayu dalam kes saman berkenaan.

Pada 30 Ogos tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan ketiga-tiga mereka dan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Najib bukan penjawat awam.

Najib berjaya membatalkan saman terbabit pada 28 April tahun lalu, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati saman itu tidak boleh dipertahankan dan Perdana Menteri, menteri, timbalan menteri serta setiausaha politik bukan penjawat awam mengikut takrifan Artikel 160(2) Persekutuan, sebaliknya ahli pentadbiran.

Dalam pernyataan tuntutan difailkan 23 Mac tahun lalu, ketiga-tiga plaintif mendakwa Najib sengaja mengganggu siasatan dakwaan mengenai 1MDB dan syarikat berkaitan serta siasatan aliran masuk wang RM2.6 bilion dan RM42 juta daripada SRC International ke dalam akaun peribadinya.

scroll to top