Monday , 10 December 2018

Home » Dunia » Malapetaka menunggu jika gagal didik wanita

Malapetaka menunggu jika gagal didik wanita

September 26, 2018 5:06 pm Category: Dunia A+ / A-
Malapetaka menunggu jika gagal didik wanita

NEW YORK,. Pemimpin Perancis, Kanada dan Britain menggesa negara dunia meningkatkan usaha mendidik anak perempuan, memberi amaran kegagalan memberikan akses kepada persekolahan berkualiti akan menyebabkan ‘malapetaka’.

Tanpa mendidik golongan wanita, negara kehilangan produktiviti dan berisiko berhadapan ketidakstabilan dan konflik, kata mereka pada acara sampingan pertemuan tahunan pemimpin dunia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Lebih 130 juta anak gadis, kebanyakannya di negara bergolak atau miskin di seluruh dunia, tidak ke sekolah, menurut Bank Dunia, menyebabkan kerugian AS$30 trilion (RM124 trilion) dari segi pendapatan dan produktiviti.

Kekurangan pendidikan meletakkan golongan itu berisiko dikahwinkan ketika masih di bawah umur, kesihatan buruk, kehamilan awal, pengangguran dan kemiskinan, kata pakar.

Namun dunia sudah membayar harganya, dari segi kuasa ekonomi dan kestabilan politik, kata pemimpin dunia di PBB yang mempromosikan pendidikan kepada wanita.

“Ia satu pelaburan. Jika kita tidak lakukannya, kita bersiap sedia berhadapan malapetaka.

“Jika kita tidak berbuat sesuatu, orang lain yang menguasai agenda dan akan berlaku krisis,” kata Presiden Perancis, Emmanuel Macron.

Pendidikan berkualiti perlu memasukkan piawaian budaya dan sosial yang menangani ketidaksamaan jantina, katanya.

Perdana Menteri Britain, Theresa May, mendesak negara lain memastikan wanita mempunyai akses pendidikan percuma berkualiti selama 12 tahun.

Sementara Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, berkata: “Apabila memperkasakan wanita untuk membuat keputusan lebih baik berbanding masa lalu, kita semua akan mendapat manfaatnya.”

— Reuters

scroll to top