Monday , 23 July 2018

Home » Nasional » Malaysia berpotensi kukuh jadi hab pusat data – Vertiv

Malaysia berpotensi kukuh jadi hab pusat data – Vertiv

June 19, 2018 12:05 pm Category: Nasional A+ / A-
Malaysia berpotensi kukuh jadi hab pusat data – Vertiv

KUALA LUMPUR,. Malaysia mempunyai potensi yang kukuh untuk menjadi hab serantau bagi pusat-pusat data serta ‘co-location’ (CoLo) kerana memiliki pelbagai faktor menarik seperti tanah yang murah, kos elektrik yang rendah dan tenaga kerja yang berkemahiran.

Pengurus Negara Vertiv Malaysia Sdn Bhd, Hitesh Prajapati berkata Malaysia telah dinilai sebagai salah satu lokasi terbaik untuk pusat data di Asia Tenggara dan ia juga agak kehadapan dari segi penggunaan teknologi awan.

Menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), industri data di Malaysia dijangka meningkat lebih daripada dua kali ganda kepada RM2 bilion menjelang 2020.

Pertumbuhan ini berpunca daripada peningkatan dalam penggunaan analisis data yang besar, pengkomputeran awan dan pemulihan data, katanya kepada Bernama.

“Dengan perkembangan teknologi, Malaysia memiliki persekitaran terbaik untuk menjadim sebuah hab serantau data. Kita telah menyaksikan pelbagai pembekal CoLo serantau dan global memulakan operasi di sini.”

“Terdapat beberapa sebab perkara ini terjadi seperti tanah yang luas, infrastruktur yang baik, tenaga kerja yang berkemahiran, kestabilan politik termasuk perhubungan antarabangsa yang mesra menjadikan ia sesuai kepada banyak pembekal rangkaian global.”

“Selain itu, berbanding Singapura dan Hong Kong, kos penubuhan di sini juga adalah jauh lebih rendah,” kata Hitesh.

Sokongan kerajaan yang berterusan dalam pertumbuhan pusat data dalam negara melalui beberapa inisiatif, juga akan membantu memperkasa ekonomi digital, katanya.

Walaupun Malaysia mempunyai kelebihan berbanding jiran-jirannya di Asia, cabaran bagi negara ini adalah untuk mengatasi reputasi dan keyakinan yang telah dinikmati Singapura.

Hakikatnya banyak perniagaan masih memilih Singapura atau Hong Kong kerana mereka lebih “maju”, katanya.

Bagaimanapun, dengan sokongan kerajaan, Malaysia mampu mara untuk menjadi hab serantau dalam masa terdekat.

Beliau ketika mengulas mengenai pertumbuhan perniagaan kumpulan itu pada tahun ini di Malaysia, berkata Vertiv atau dahulu dikenali sebagai Emerson Network Power, meramalkan pertumbuhan yang kukuh di dalam pasaran Malaysia.

Perniagaan syarikat itu telah berkembang baik pada tahun sebelum ini, disumbangkan, terutamanya oleh telekomunikasi dan pusat data CoLo.

Vertiv mereka bentuk, membina dan menyelenggara infrastruktur kritikal bagi menjana aplikasi terpenting untuk pusat data, rangkaian komunikasi, kemudahan perindustrian dan komersial.

“Kami sedang menyaksikan pelbagai peluang bagi infrastruktur kritikal yang didorong melalui pelaburan teknologi oleh perniagaan tempatan dan global, serta inisiatif-inisiatif cemerlang oleh MDEC dan agensi-agensi kerajaan yang lain ke arah memperluaskan ekonomi digital Malaysia.”

“Trend teknologi seperti Internet Pelbagai Perkara, kemajuan pengkomputeran, pengkomputeran awan, e-dagang dan data besar sedang memacu banyak organisasi untuk melabur dalam menaik taraf infrastruktur kritikal mereka bagi memenuhi cabaran-cabaran baru ini,” katanya.

Hitesh berkata pelbagai industri seperti pembekal CoLo, agensi kerajaan, institusi kewangan, kedai-kedai runcit, telekomunikasi dan kemudahan-kemudahan industri telah ditansformasikan melalui pendigitalan, automasi dan mengguna pakai teknologi generasi akan datang yang boleh disokong oleh penyelesaian-penyelesaian Vertiv.

Sekarang ini adalah masa terbaik untuk melakukan perniagaan di Malaysia dan Vertiv berada dalam kedudukan kukuh bagi memenuhi permintaan perniagaan tempatan, katanya.

Melangkah ke hadapan, walaupun segmen CoLo dan telekomunikasi akan terus membawa pelaburan yang besar, kumpulan itu melihat prospek yang baik dalam sektor perkilangan dan pengangkutan dengan e-dagang menerajui transformasi dalam ruang logistik.

“Kami juga amat optimis bahawa industri minyak dan gas akan pulih perlahan-lahan selepas kelembapan,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top