Wednesday , 24 July 2019

Home » Nasional » Malaysia bersatu tolak keganasan, mahukan kedamaian sejagat

Malaysia bersatu tolak keganasan, mahukan kedamaian sejagat

March 24, 2019 7:03 am Category: Nasional A+ / A-
Malaysia bersatu tolak keganasan, mahukan kedamaian sejagat

KUALA LUMPUR,. Tragedi tembakan di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand yang mengorbankan 50 orang termasuk seorang remaja Malaysia pada Jumaat minggu lepas mencetuskan kesedaran dan rasa tanggungjawab rakyat negara ini untuk bangkit bersatu menolak keganasan dalam mempertahankan kedamaian sejagat.

Suara keamanan, kedamaian dan perpaduan rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum itu dizahirkan pada sepanjang Perhimpunan Solidariti Kedamaian di Dataran Merdeka, di sini hari ini.

Ribuan peserta yang berhimpun sejak awal pagi bermula di perkarangan pusat beli-belah Sogo sebelum berarak ke Dataran Merdeka senada melaungkan slogan “Hidup, hidup, hidup kedamaian”, “Tolak Terrorrisme” sambil membawa pelbagai sepanduk yang memanifestasikan tuntutan suara kedamaian.

Antara yang kelihatan ialah ‘Faith’; ‘Hentikan Kebencian Sebarkan Kasih Sayang’; ‘Salam Peace’; ‘Terrorists Have No Religion And No Race’; ‘Mucad Ibrahim 3 Years Old I Am Not A Terrorist’; ‘Islam Religion of Peace’; #Hello Brother’; #Turn To Love; #Solidarity4Peace; #Tolak Keganasan; # Respect Respect Others; dan ‘Dunia Tanpa Kebencian’.

4511407606c048649cfa1f1bc72a83555c95edad0937f
Perhimpunan bagi memperingati mangsa-mangsa serangan itu turut menyaksikan rakyat pelbagai kaum menunjukkan empati terhadap mereka yang terkorban dengan berdoa mengikut agama masing-masing dan bertafakur kira-kira dua minit.

Seorang peserta, R. Balasingam, 25, yang menyertai perhimpunan itu bersama dua rakannya berkata walaupun bukan beragama Islam, beliau tetap berasa amat sedih dengan tragedi di Christchurch.

“Saya menolak dan menentang keganasan sekeras-kerasnya dan kesempatan ini saya ingin ucapkan takziah kepada keluarga Muhamad Haziq yang terlibat tragedi itu…semoga keluarga mereka tabah menghadapi dugaan ini,” kata pemuda dari Johor Bharu itu.

Perhimpunan aman itu turut disertai Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia Hunter Nottage; Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Andrew Goledzinowski; dan Duta Turki ke Malaysia Dr Merve Safa Kavakci yang senada menolak sebarang bentuk keganasan.

5140d72a480eb27577515721161203805c95ee3d1fff0
Nottage berkata banyak perhimpunan umum yang diselubungi kesedihan dan tangisan dianjurkan di New Zealand termasuk perhimpunan serta solat di seluruh negara semalam yang merupakan cerminan kebersamaan serta saling menghormati.

Semalam, warga New Zealand mengadakan perhimpunan di seluruh negara itu sebagai menandakan genap seminggu tragedi dua buah masjid di Christchurch yang turut mencederakan lebih 40 yang lain termasuk tiga rakyat Malaysia.

Perhimpunan di Kuala Lumpur hari ini mengeluarkan Deklarasi Kedamaian Kuala Lumpur 2019 yang dibacakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Perhimpunan anjuran Jabatan Perdana Menteri (Jabatan Hal Ehwal Agama Islam) dan Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) dengan kerjasama Civil Society Organisation (CSO) itu turut disertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan agama seperti Sikh, Taoisme, Buddha, Kristian, Hindu dan Islam.

Wakil pelbagai agama di negara ini antaranya Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri; wakil Christian Federation of Malaysia Julian Leow; Malaysian Gurdwaras Council Sardar Jagir Singh; dan Bahai Community of Malaysia S Sanggita senada menyampaikan mesej jelas menolak sebarang bentuk kebencian dan menyuburkan keamanan.

“Hari ini kita beri mesej jelas kepada seluruh negara dan seluruh dunia bahawa rakyat Malaysia berikrar untuk mengukuhkan tali persaudaraan dan persamaan dalam sebuah negara yang harmoni dan bersatu padu.

“Kita rakyat Malaysia sepatutnya bukan sahaja bersatu kekalkan keharmonian sedia ada bahkan harus kuatkan dan eratkan lagi tali persahabatan antara kita semua dan pastikan kedamaian berada dalam negara yang kita cintai ini,” kata wakil Christian Federation of Malaysia.

Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pula berkata peristiwa hitam yang berlaku di New Zealand perlu dijadikan iktibar bagi seluruh rakyat menentang sebarang bentuk kebencian dan menyuburkan kedamaian.

Dalam tragedi 15 Mac lepas, 50 orang terkorban termasuk remaja Malaysia Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17 manakala tiga lagi rakyat negara ini antara lebih 40 yang cedera.

— BERNAMA

scroll to top