Thursday , 15 November 2018

Home » Bisnes » Malaysia, China senada

Malaysia, China senada

August 21, 2018 8:49 am Category: Bisnes, Ekonomi, Nasional A+ / A-
Malaysia, China senada

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (empat dari kiri) bersama Presiden China, Xi Jinping (tiga dari kanan) ketika mesyuarat dua hala di Diaoyutai State Guest House, Beijing, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR,. Hubungan diplomatik Malaysia-China memasuki lembaran baharu apabila kedua-dua negara senada dalam pelbagai perkara.

Persetujuan bersama mencakupi hal ehwal perdagangan, perkongsian teknologi, pelaburan, keselamatan, pertahanan, kedaulatan, kewangan dan pertanian.

Menerusi kenyataan bersama, kedua-dua negara mencapai kesepakatan untuk mengadakan rundingan dalam merangka kerjasama perdagangan dan ekonomi bagi tempoh 2018 hingga 2022, selain mengalu-alukan aliran pelaburan Malaysia-China bersandarkan prinsip kesaksamaan, saling menghormati dan meraih manfaat bersama.

Usaha sama dan inisiatif perkongsian teknologi akan turut dipacu, membabitkan segmen pelaburan bernilai tinggi seperti teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT), penilaian data, reka bentuk dan pembangunan, peranti internet kebendaan (IoT) serta kecerdasan buatan (AI).

“Kedua-dua negara bersetuju melonjak kerjasama ‘dua negara, dua taman’, iaitu Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia (CMQIP) dan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) menerusi Majlis Kerjasama Bersama mengenai pembangunan projek berkenaan.

“Malaysia-China akan memulakan perbincangan bagi memeterai memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dagangan elektronik rentas sempadan yang bakal meraih manfaat, selain membuka peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Mengenai kelapa sawit, kedua-dua pemimpin (Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri China, Li Keqiang) memperakui penggunaan tanaman komoditi berkenaan dan produknya dalam rangkaian sektor makanan dan bukan berasaskan makanan di China.

“Bagi meningkatkan hubungan masyarakat dan pertumbuhan sosioekonomi kedua-dua negara, 2020 diumumkan sebagai tahun pelancongan dan kebudayaan Malaysia-China,” kata kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

China turut bersetuju bekerjasama dengan Malaysia dan negara anggota ASEAN untuk mempercepatkan proses rundingan bagi memeterai persetujuan pelaksanaan Kod Tata Laku (COC) membabitkan perairan Laut China Selatan.

Menerusi hubungan strategik itu, persetujuan dijangka turut dicapai supaya Deklarasi Tata Laku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) dilaksanakan sepenuhnya, sekali gus melonjak kerjasama maritim.

“Malaysia-China bersetuju mengenai kepentingan mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan, selain kebebasan pelayaran di Laut China Selatan, namun menekankan keperluan supaya semua pihak mengambil pendekatan berhati-hati ketika melaksanakan sebarang aktiviti di perairan terbabit.

“Pendekatan sama perlu digunakan bagi memastikan sebarang tindakan tidak mencetus dan memburukkan ketegangan di Laut China Selatan, manakala semua rundingan haruslah dilaksanakan secara aman serta berteraskan prinsip perundangan antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982,” katanya.

Berkaitan hal ehwal kewangan, persetujuan dicapai kedua-dua negara untuk melanjutkan perjanjian mengenai Pertukaran Mata Wang Dua Hala Yuan/Ringgit antara People’s Bank of China dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Isu berkaitan ‘raja buah’ tidak ketinggalan daripada diperhalusi apabila satu MoU dimeterai mengenai protokol pemeriksaan dan keperluan kuarantin terhadap eksport durian sejuk beku dari Malaysia ke China menerusi Pentadbiran Awam Kastam Republik China serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

“Kedua-dua pihak menyatakan kepuasan hasil daripada kunjungan rasmi ini. Dr Mahathir menzahirkan penghargaan susulan layanan tuan rumah terhadap beliau dan delegasi Malaysia sepanjang berada di China.

“Li Keqiang turut menerima undangan Dr Mahathir untuk berkunjung ke Malaysia pada waktu yang akan dipersetujui bersama kelak,” katanya.

scroll to top