Saturday , 25 May 2019

Home » Bisnes » Malaysia di landasan tepat menjadi hab kewangan Islam antarabangsa

Malaysia di landasan tepat menjadi hab kewangan Islam antarabangsa

April 23, 2019 12:38 pm Category: Bisnes, Ekonomi, Nasional A+ / A-
Malaysia di landasan tepat menjadi hab kewangan Islam antarabangsa

Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

KUALA LUMPUR,. Malaysia berada di landasan tepat untuk menjadi Hab Kewangan Islam Global yang terkemuka di dunia dalam masa terdekat, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Beliau berkata Malaysia mempunyai Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM) yang ditubuhkan pada 2010 dengan kerjasama 12 bank pusat sedunia, yang fungsinya adalah bagi mempelopori inisiatif kerajaan melibatkan pembangunan kewangan Islam di peringkat antarabangsa.

“Menurut Laporan Pembangunan Kewangan Islam oleh Thomson Reuters pada 2018 menunjukkan Malaysia kekal sebagai peneraju bagi 56 negara bagi institusi kewangan Islam.

‘’Ini menunjukkan penubuhan perbadanan itu pada 2010 yang menjadi ‘frontier’ kerajaan bagi membangunkan kewangan Islam negara ini di peringkat antarabangsa adalah langkah tepat dalam menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab Kewangan Islam Global terbaik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Isnin.

Beliau menjawab soalan Senator Asmak Husin mengenai langkah-langkah kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Kewangan Islam Global yang terkemuka di dunia.

Amiruddin berkata bank-bank Malaysia juga dilantik menjadi pengatur dan pengurus utama sukuk berdaulat untuk negara lain antaranya Turki dan Hong Kong, yang mana ia turut membuktikan Malaysia kini semakin diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk menjadi peneraju hab kewangan Islam antarabangsa.

Kepada soalan tambahan Asmak mengenai pelan kerajaan menambah jumlah bakat dan modal insan melibatkan kewangan Islam daripada Malaysia, katanya Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) menawarkan program sarjana muda dan kedoktoran bagi memenuhi keperluan kepakaran kewangan Islam daripada Malaysia untuk dibawa ke peringkat antarabangsa.

“Malah melalui program sarjana muda dan kedoktoran kewangan Islam yang ditawarkan INCEIF, pada 2018 INCEIF telah menerima akreditasi berprestij oleh Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB) yang meletakkan INCEIF terpilih dalam kalangan lima peratus institusi-institusi antarabangsa lain yang menawarkan program perniagaan dan kewangan Islam,” katanya.

Katanya Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa Dalam Kewangan Islam (ISRA) turut menawarkan subjek Fiqh Muamalat bagi program sarjana dan kedoktoran, dan akademi itu turut memberi peluang menjadi juru perunding melibatkan hal ehwal kewangan Islam kepada negara Afrika dan juga negara Komanwel.

— BERNAMA

scroll to top