Wednesday , 26 September 2018

Home » Ekonomi » Malaysia ekonomi berpendapatan tinggi seawal 2020

Malaysia ekonomi berpendapatan tinggi seawal 2020

December 17, 2017 12:18 pm Category: Ekonomi, Nasional A+ / A-
Malaysia ekonomi berpendapatan tinggi seawal 2020

KUALA LUMPUR,. Malaysia dijangka mencapai status negara ekonomi berpendapatan tinggi, melepasi Pendapatan Negara Kasar (GNI) perkapita AS$12,236 antara tahun 2020 hingga 2024.

Unjuran Bank Dunia mengikut pendekatan Atlas itu dibuat berdasarkan prestasi semasa Malaysia yang menyaksikan GNI perkapita negara setakat 2017 berada sekitar AS$9,660.

“Justeru, GNI Malaysia masih kekurangan AS$2,576 untuk mencapai status negara ekonomi berpendapatan tinggi. “Bank Dunia turut mengunjurkan Malaysia berupaya mencapai paras GNI dikehendaki seawal 2020 berdasarkan senario terbaik atau setahun kemudian menerusi senario garis asas.

“Sasaran paling lewat untuk Malaysia mencapai status negara ekonomi berpendapatan tinggi adalah pada 2024 berdasarkan senario terendah,” menurut laporan yang dipaparkan di laman web rasmi agensi berkenaan, hari ini.

Malaysia turut dijangka mencatatkan pertumbuhan ekonomi berkadar 5.2 peratus pada 2018 dengan dipacu perbelanjaan sektor swasta yang tinggi.

Unjuran Bank Dunia itu menyaksikan pertumbuhan lebih rendah berbanding 2017 yang diletakkan pada kadar 5.8 peratus.

“Pada 2017, Malaysia mengalami lonjakan pertumbuhan yang signifikan susulan pertembungan faktor luaran dan domestik, sekali gus menyaksikan peningkatan mendadak terhadap kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tempoh Januari hingga September.

“Ia turut disokong pengukuhan permintaan domestik dan luaran. Penggunaan swasta pula mencatatkan pertumbuhan yang kukuh, dipacu persekitaran pasaran buruh, pengekalan pertumbuhan gaji dan pelaksanaan pendekatan pendapatan sokongan untuk manfaat golongan isu rumah pertengahan.

“Perbelanjaan modal juga meningkatkan disebabkan pelaburan sektor awam dan swasta yang lebih tinggi, justeru ekonomi Malaysia pada 2017 diunjurkan berkembang 5.8 peratus,” katanya.

scroll to top