Tuesday , 20 November 2018

Home » Bisnes » Malaysia Fair Tokyo 2018

Malaysia Fair Tokyo 2018

November 5, 2018 9:46 am Category: Bisnes, Dunia, Nasional A+ / A-
Malaysia Fair Tokyo 2018

Program Malaysia Fair Tokyo 2018 yang berlangsung selama tiga hari di Shinjuku Chuo Park

TOKYO,. Program Malaysia Fair Tokyo 2018 yang berlangsung selama tiga hari di Shinjuku Chuo Park, dekat sini, mendapat sambutan hebat masyarakat Jepun.

Lebih 30,000 pengunjung menyertai program julung kali diadakan itu yang turut menghimpunkan ramai rakyat Malaysia di negara ini.

Apa yang menarik, mereka sanggup beratur panjang lebih sejam termasuk dalam hujan semata-mata untuk menikmati kepelbagaian menu makanan Malaysia yang disajikan.

Antara menu makanan yang dijual dari harga serendah ¥500 (RM18) ialah nasi lemak, laksa Sarawak, mee kari, bihun sup, pisang goreng, pulut kuning, rendang, roti canai, satay dan satar.

Kebanyakan makanan habis dalam tempoh singkat sehingga memaksa segelintir peniaga, terdiri rakyat Malaysia menambah hidangan dari masa ke semasa bagi mengelak pengunjung kehampaan.

Selain makanan enak, pengunjung juga tertarik melihat persembahan bintang rock tanah air, Amy Search, dan menunggu sehingga lewat petang untuk menyaksikan acara kemuncak Malaysia Fair itu.

Program itu anjuran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama beberapa agensi kerajaan termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia dan Tourism Malaysia.

Penasihat Pertanian di Jepun, Mohd Taqiuddin Zakaria, berkata selain kepelbagaian menu, Malaysia Fair Tokyo 2018 turut memaparkan keunikan kebudayaan dan kesenian pelbagai kaum di Malaysia.

Beliau berkata program turut menonjolkan elemen perdagangan dan pelaburan dalam sektor agromakanan, pelancongan dan pendidikan.

“Malaysia Fair Tokyo 2018 adalah kemuncak kepada program promosi yang diadakan sepanjang tahun ini di Jepun.

“Selain daripada memperkenal dan mempromosi Malaysia secara keseluruhannya, program ini juga membuka peluang kepada usahawan Malaysia mempromosikan produk makanan keluaran tempatan, kebudayaan dan produk pelancongan kepada masyarakat di sini.

“Tambahan pula, permintaan kepada produk halal Malaysia semakin meningkat di Jepun terutamanya menjelang Temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020,” katanya.

Majlis pelancaran Malaysia Fair Tokyo 2018 disempurnakan oleh Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Ahmad Izlan Idris.

Sebanyak 35 agensi kerajaan, syarikat swasta, persatuan pelajar dan individu menyertai program itu termasuk Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, Kesatuan Pelajar Malaysia di Jepun, Persatuan Wanita Kementerian Luar Negeri, Janji Beger, Malay Asian Cuisine, Brahim’s Food Japan, Ayam Brand, Petronas dan Tanamera Spa Kemaman.

scroll to top