Thursday , 20 September 2018

Home » Nasional » Malaysia perlu jadi negara pengeluar – PM

Malaysia perlu jadi negara pengeluar – PM

August 19, 2018 5:44 pm Category: Nasional A+ / A-
Malaysia perlu jadi negara pengeluar – PM

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada majlis jamuan tengah hari bersama pemimpin korporat Malaysia di Beijing, hari ini.

BEIJING,. Malaysia perlu mengubah pendekatan daripada sebuah negara pengguna kepada negara pengeluar jika mahu terus memajukan ekonominya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata itulah pendekatan yang dilakukan China sehingga menjadikannya kuasa ekonomi kedua terbesar sekarang ini.

“Di Malaysia kita hanya mahu menggunakan barangan berkualiti tetapi tidak belajar mengeluarkannya. Tetapi bagi China, sikap mereka adalah berbeza.

Mereka bukan hanya mahu membeli barangan berkualiti tetapi juga belajar bagaimana mengeluarkannya. Akhirnya pengeluar menang, dan kita sebagai pengguna hanya menghantar keluar wang ke luar negara,” katanya.

Dr Mahathir yang sedang dalam lawatan rasmi ke China berkata demikian pada jamuan tengah hari bersama pemimpin korporat Malaysia di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Darell Leiking; Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim.

Antara pemimpin korporat yang turut serta ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin; Presiden Dewan Perdagangan Malaysia-China, Tan Yew Sing; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Bhd, Masnizam Hisham.

Dr Mahathir berkata, sikap rakyat Malaysia sedemikian terserlah apabila ramai yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan projek kereta nasional ketiga.

“Rakyat Malaysia yang mahu mengguna. Ramai yang membantah cadangan projek kereta nasional ketiga sebab mereka hanya mahu membeli kereta asing.

“Tetapi China berbeza, mereka tidak mengeluarkan kereta semasa kita sudah pun mengeluarkan kereta Proton. Kini kereta keluaran mereka adalah setanding teknologinya dengan kereta Eropah,” katanya.

Perdana Menteri juga mahu rakyat dan peniaga Malaysia mengikis sikap rendah diri jika mahu terus maju.

Memberikan contoh, beliau berkata, apabila mengeluarkan produk, syarikat Malaysia gemar untuk menggunakan jenama seolah-olah ia adalah dari Eropah.

“Namun ini tidak berlaku di Korea dah China. Mereka bangga menggunakan jenama identiti tempatan.

“Syarikat kita juga perlu berbuat demikian dengan mengeluarkan produk berkualiti tinggi menggunakan jenama kita sendiri dan tidak berselindung di sebalik nama Eropah,” katanya.

scroll to top