Tuesday , 23 July 2019

Home » Bisnes » Malaysia serius mengenai agenda pembangunan bakat teknologi – Gobind

Malaysia serius mengenai agenda pembangunan bakat teknologi – Gobind

June 29, 2019 6:31 am Category: Bisnes, Nasional, Teknologi A+ / A-
Malaysia serius mengenai agenda pembangunan bakat teknologi – Gobind

PUTRAJAYA,. Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan terus mengkaji semula semua inisiatif sedia ada selain membangunkan dasar-dasar penting baharu dalam memastikan Malaysia sentiasa di depan dalam persaingan, terutama melibatkan pembangunan bakat teknologi, kata menterinya Gobind Singh Deo.

“Kementerian amat memandang serius mengenai agenda pembangunan bakat teknologi,” katanya semasa melancarkan Data Futures Forum 2019: Shaping our Future Together-Towards a Data Enabled Society, di kampus Heriot Watt University Malaysia di sini hari ini.

Gobind berkata satu daripada bidang penting dalam perjalanan Malaysia ke arah menjadi sebuah negara maju adalah bakat.

“Sebagai penggerak utama IR4.0 (Revolusi Industri Keempat), adalah kritikal bagi kita untuk menyediakan saluran bakat yang kuat bagi memanfaatkan peluang-peluang sosioekonomi yang terhasil daripada pelaksanaan pendigitalan dan teknologi pintar,” katanya.

Memetik Laporan Bakat Digital Frost dan Sullivan yang ditauliahkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada 2017, beliau berkata permintaan terhadap bakat digital Malaysia dijangka tumbuh sebanyak 15 peratus setiap tahun yang memerlukan lebih daripada 540,000 pekerjaan menjelang 2020.

“Bakat-bakat digital kini menerima permintaan yang tinggi dan dilihat akan tumbuh dengan lebih pesat pada tahun-tahun yang akan datang,” tambah beliau.

Sementara Forum Ekonomi Dunia menganggarkan 75 juta peranan sedia ada mungkin akan menurun menjelang 2022, namun adalah diunjurkan bahawa 133 juta peranan baharu akan muncul kebanyakannya sebagai gangguan teknologi pintar jika tidak pun kesemua industri, kata beliau.

Peranan-peranan yang baru muncul ini adalah berkaitan dengan sains data, kecerdasan pintar (AI), pembangunan perisian, transformasi digital dan keselamatan siber, kata beliau.

“Kementerian saya faham ada keperluan mendesak untuk manjamin masa depan bakat-bakat digital pada masa depan dan sedang menangani agenda bakat digital menerusi MDEC, yang telah memainkan peranan utama dalam membangun dan memupuk bakat teknologi sejak beberapa tahun ini,” kata Gobind.

Beliau turut menyebut contoh kejayaan besar di peringkat sekolah adalah gerakan MyDigitalMaker yang secara perlahan-lahan mentransformasi para pelajar Malaysia daripada pengguna digital kepada pengeluar dalam ekonomi digital menenerusi kemahiran pembuat digital seperti pengekodan, pembangunan perisian, cetakan 3D, robotik, pengaturcaraanembedded, pengaturacaraan dan analisis data.

“Setakat ini, lebih 700,000 pelajar sekolah rendah dan menengah telah menerima kesan daripada aktiviti pembuatan digital di seluruh negara,” kata beliau.

Usaha lain oleh kementeriannya adalah di peringkat pendidikan tinggi melalui inisiatif Institusi Teknologi Digital Premier (PDTI), yang bermatlamat untuk memenuhi permintaan tinggi graduan Sains Komputer yang tersedia untuk industri, dengan melibatkan kumpulan institusi pengajian tinggi bersama-sama dengan rakan industri yang berkaitan bagi membekalkan graduan berkualiti tinggi untuk industri digital.

“Sepanjang satu tahun sahaja, terdapat peningkatan 33 peratus dalam pengambilan bagi kursus Sains Komputer dan teknologi maklumat untuk PDTI, dan peningkatan dalam kadar kebolehpasaran,” katanya.

Gobind berkata kementerian bekerjasama dengan rakan industri untuk memenuhi kerjaya teknologi lain yang semakin berkembang seperti keselamatan siber, sains data, AI, Internet of Things, pemasaran digital dan multimedia kreatif.

“Bagi memenuhi tuntutan industri ini yang berkembang pantas, Malaysia memerlukan kira-kira 20,000 profesional data untuk memenuhi keperluan yang secukupnya,” katanya sambil menambah bahawa tinjauan baru-baru ini menunjukkan gaji awal bagi profesional data antara RM50,000-90,000 setahun bergantung pada kelayakan akademik dan kecekapan teknikal.

Sementara itu, Gobind juga mengalu-alukan komitmen Heriot-Watt University untuk menyokong negara dalam menyediakan transformasi digital dengan menawarkan biasiswa berjumlah RM 2.6 juta bagi program sains data dalam tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata komitmen universiti itu menyumbang kepada keperluan pendidikan pelajar tempatan agar mereka dapat terus mengasah kemahiran dan pengetahuan serta sebagai dorongan besar untuk pembangunan bakat teknologi tempatan.

— BERNAMA

scroll to top