Monday , 22 October 2018

Home » Bisnes » Malaysia sumbang 75 peratus kepada pasaran perkhidmatan keselamatan siber menjelang 2025 – Gobind Singh

Malaysia sumbang 75 peratus kepada pasaran perkhidmatan keselamatan siber menjelang 2025 – Gobind Singh

October 6, 2018 9:50 am Category: Bisnes, Ekonomi, Nasional, Teknologi A+ / A-
Malaysia sumbang 75 peratus kepada pasaran perkhidmatan keselamatan siber menjelang 2025 – Gobind Singh

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

KUALA LUMPUR,. Malaysia adalah antara tiga negara anggota ASEAN utama yang dijangka menyumbang 75 peratus daripada bahagian pasaran bagi perkhidmatan keselamatan siber menjelang 2025, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, berikutan peluang dalam bidang ekonomi digital yang pesat berkembang, di samping pertumbuhan luar biasa industri keselamatan siber, kerajaan menyusun pelbagai strategi bersifat berpandangan jauh, termasuk terus melahirkan bakat berpendapatan tinggi bagi meningkatkan produktiviti negara.

“(Strategi lain) ialah menjadikan Malaysia negara terkemuka di rantau ASEAN yang memiliki kekuatan dari segi sumber dalam penghasilan analitik keselamatan siber dan sumber forensik serta meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan siber kebangsaan dengan jayanya bagi menjamin pertumbuhan ekonomi digital,” katanya pada majlis pelancaran Zon Bakat Keselamatan Siber Asia Pacific University (APU) di sini hari ini.

Zon Bakat Keselamatan Siber mempunyai sebuah Pusat Operasi Keselamatan (SOC) yang berfungsi secara menyeluruh bagi membolehkan pelajar merasai sendiri pengalaman dalam pengoperasian keselamatan siber.

Bagi melaksanakan inisiatif itu, APU berganding bahu dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan penggiat industri, termasuk, mereka yang terlibat dalam bidang infrastruktur dan perkhidmatan dari Malaysia, United Kingdom dan Perancis.

Sementara itu, Gobind Singh berkata, menurut laporan Linkedln Disember 2017, 21 peratus daripada tenaga kerja dalam bidang keselamatan siber di Malaysia terdiri daripada wanita, berbanding hanya 11 peratus di Amerika Syarikat.

“Bagaimanapun, secara keseluruhan, “corong” bakat baharu adalah terlalu sempit dan tidak cukup untuk menyara serta menyokong permintaan yang sentiasa meningkat daripada ekonomi digital kita,” kata beliau.

Oleh demikian, kata Gobind Singh, fokus Malaysia akan turut bertumpu pada program pemberdayaan seperti menggalakkan lepasan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melibatkan diri dalam bidang keselamatan siber sebagai kerjaya serta meningkatkan pengetahuan dan kemampuan dari segi kecerdasan buatan (AI).

Mernyentuh tentang penubuhan Zon Bakat Keselamatan Siber, beliau berkata inisiatif itu dilakasanakan tepat pada waktunya kerana permintaan terhadap bakat dalam bidang keselamatan siber di Malaysia akan mencapai 10,500 menjelang 2020 seperti yang dilaporkan Frost & Sullivan melalui kajian bakat digitalnya baru-baru ini.

Kata beliau, memandangkan ancaman siber terus berkembang dengan pesat, maka lepasan universiti dan institusi pengajian tinggi perlu mempunyai akses dan beroperasi dalam persekitaran sebenar bagi meraih kemahiran dalam bidang pemantauan keselamatan secara proaktif dan respons terhadap kejadian di SOC.

— BERNAMA

scroll to top