Sunday , 26 May 2019

Home » Nasional » Malaysia terus menyumbang ke arah pelaksanaan penuh Kerangka Kerja Sendai

Malaysia terus menyumbang ke arah pelaksanaan penuh Kerangka Kerja Sendai

May 16, 2019 5:33 am Category: Nasional A+ / A-
Malaysia terus menyumbang ke arah pelaksanaan penuh Kerangka Kerja Sendai

GENEVA,. Malaysia akan terus menyumbang dan menggalakkan pengurangan risiko bencana (DRR) di semua peringkat (dalam negara, serantau dan antarabangsa), ke arah pelaksanaan sepenuhnya Kerangka Kerja Sendai.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata dalam hubungan ini, Malaysia juga mempercepatkan tempo perubahan dalam DRR dengan menyokong pembangunan Strategi DRR Tempatan dan meningkatkan penglibatan dan penyertaan pemain tempatan dalam agenda dan program nasional mengenai DRR .

“Kami juga meningkatkan kesedaran dan penggunaan Platform Nasional untuk DRR, sebagai forum untuk perkongsian strategik, koordinasi dan perkongsian amalan yang baik.

“Selain itu, usaha telah dijalankan untuk membangun dan memperbaiki pemetaan bahaya dan risiko, memperbaiki instrumen perancangan ruang seperti pembangunan garis panduan indeks bencana bandar dan menguatkuasakan kod bangunan tahan gempa,” katanya dalam pernyataan negara pada sesi pleno Platform Global bagi Pengurangan Risiko Bencana (GPDRR), di sini hari ini. Dr Wan Azizah merupakan pemimpin pertama yang menyampaikan ucapan.

Kerangka Kerja Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030 adalah perjanjian global, sukarela dan tidak terikat yang telah diterima pakai pada Persidangan Dunia Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk Pengurangan Risiko Bencana kali ketiga dan disahkan oleh Perhimpunan Agung PBB melalui Resolusi 69/283.

Kerangka Kerja Sendai mengiktiraf bahawa negara mempunyai peranan utama untuk mengurangkan risiko bencana tetapi tanggungjawab itu harus dikongsi dengan pihak berkepentingan lain termasuk kerajaan tempatan, sektor swasta dan lain-lain.

Timbalan Perdana Menteri juga menarik perhatian bahawa Malaysia adalah antara tiga negara pertama yang melengkapkan pelaporan Pemantauan Kerangka Kerja Sendai.

Dr Wan Azizah berkata Malaysia juga menggalakan peranan sains dan teknologi dalam menyokong keputusan dasar berkaitan risiko dan meneroka tanggungjawab bersama dalam DRR, seperti menggalakkan perkongsian awam-swasta dan mewujudkan mekanisme pemindahan risiko.

Pada masa yang sama, kerajaan juga meningkatkan keupayaan pengurusan risiko bencana dalam pengerahan sumber, rangkaian komunikasi, sistem amaran, teknik ramalan dan pembinaan kapasiti, kata beliau.

Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia mengalu-alukan penganjuran Sesi keenam GPDRR di Geneva yang tepat pada masanya berikutan banyak cabaran baharu yang muncul dalam bidang pengurangan risiko bencana.

“Kami mengalu-alukan peluang ini untuk berkongsi, belajar dan berbincang pada GPDRR yang bertemakan ‚ÄúResilience Dividend: Towards Sustainable and Inclusive Societies dalam apa yang kita anggap sebagai contoh dialog positif antara semua pihak berkepentingan dan berkongsi amalan terbaik dalam DRR,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata walaupun Malaysia tidak selalunya terjejas akibat nalapetaka pada skala bencana, namun negara ini menghadapi beberapa kekerapan tinggi, bencana berimpak rendah seperti banjir, tanah runtuh dan ribut sepanjang tahun.

“Kami juga harus menangani bencana buatan manusia seperti kebakaran dan yang terbaharu, pencemaran kimia,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata dalam menangani isu-isu ini, Malaysia telah mengambil pendekatan pelbagai pihak berkepentingan melibatkan agensi kerajaan, negeri dan pihak berkuasa tempatan, pakar teknikal, sektor swasta dan masyarakat awam.

Beliau berkata di peringkat antarabangsa, sumbangan Malaysia terhadap pengurusan bencana diiktiraf dengan baik.

“Kami adalah pemain utama dalam inisiatif pengurangan risiko bencana serantau dan antarabangsa seperti Mesyuarat peringkat Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana, Jawatankuasa ASEAN mengen ai Pengurusan Bencana, Forum Serantau ASEAN dan Kerangka Kerja Sendai untuk DRR.

Malaysia dengan sukacitanya memaklumkan bahawa kami adalah antara tiga negara pertama untuk melengkapkan pelaporan Pemantauan Kerangka Kerja Sendai, ” kata beliau.

Pada akhir ucapannya, Dr Wan Azizah menjemput delegasi GPDRR ke Persidangan Sains dan Teknologi Asia Pasifik untuk Pengurangan Risiko Bencana 2020 yang akan diadakan dari 16 hingga 16 Mac tahun depan di Kuala Lumpur.

— BERNAMA

scroll to top