Saturday , 25 May 2019

Home » Bencana » Malaysia timbang bawa isu akta wakilan ke WTO

Malaysia timbang bawa isu akta wakilan ke WTO

April 25, 2019 7:59 am Category: Bencana, Ekonomi, Nasional A+ / A-
Malaysia timbang bawa isu akta wakilan ke WTO

Matrade building.

KUALA LUMPUR,. Malaysia menimbang membawa isu akta wakilan Suruhanjaya Eropah untuk melaksanakan Arahan Tenaga Boleh Diperbaharui Kesatuan Eropah (EU RED II) bagi 2021-2030 kepada mekanisme penyelesaian pertikaian di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata Suruhanjaya Eropah baru-baru ini telah mengguna pakai akta wakilan, yang mengenakan syarat-syarat ketat terhadap tanaman bagi bahan mentah biofuel yang menyebabkan penebangan hutan dan pelepasan gas rumah hijau yang menyumbang kepada penukaran penggunaan tanah secara tidak langsung (ILUC).

Akta wakilan itu memasukkan minyak sawit dalam kategori ‘high ILUC-risk’. di mana tanaman di bawah kategori ini akan diberhentikan secara berfasa menjelang 2030, yang jelas merupakan satu bentuk sekatan terselindung dalam langkah perlindungan dan perdagangan antarabangsa terhadap tanaman itu.

“Malaysia akan terus giat berbincang dengan negara-negara pengeluar minyak sawit lain untuk mencari usaha padu bagi menyuarakan bantahan kami di hadapan pelbagai jawatankuasa di bawah WTO.

“Pelbagai tekanan ke atas Kesatuan Eropah (EU) akan dipertingkatkan kerana ramai yang melihat perkembangan terbaharu ini dikatakan boleh melanggar peraturan WTO,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, semasa Mesyuarat Majlis Perdagangan Barangan (CTG) pada 12 April, MITI berkata Malaysia menekankan bahawa akta wakilan yang diguna pakai itu memberi implikasi negatif kepada pembangunan industri sawit di seluruh dunia.

Selain itu, ia berkata, bukti saintifik telah membuktikan bahawa sawit adalah tanaman menghasilkan minyak yang paling produktif berbanding tanaman minyak tahunan lain, di mana satu hektar tanah yang ditanam dengan sawit mampu membekalkan antara lima hingga 10 kali hasil berbanding sesawi dan kacang soya.

“Minyak sawit Malaysia dihasilkan dengan cara yang lestari dan industri sawit komited untuk menghasilkan minyak sawit mengikut prinsip dan kriteria lestari di bawah skim persijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).

“Justeru itu, Malaysia menggesa EU untuk menerima dan mengiktiraf skim persijilan MSPO sebagai satu daripada skim suka rela di bawah Arahan bagi persijilan biofuel dan bioliquid risiko rendah ILUC,” kata MITI.

— BERNAMA

scroll to top