Friday , 20 July 2018

Home » Bencana » Malaysia ucap takziah kepada mangsa banjir di Jepun

Malaysia ucap takziah kepada mangsa banjir di Jepun

July 11, 2018 7:32 am Category: Bencana, Nasional A+ / A-
Malaysia ucap takziah kepada mangsa banjir di Jepun

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR,. Malaysia merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada mangsa dan keluarga yang terjejas akibat bencana banjir dan tanah runtuh di barat Jepun.

Ketika menyampaikan ucapan takziah bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau amat berdukacita terhadap angka kematian yang tinggi.

Sekurang-kurangnya 155 orang dilaporkan terkorban dalam bencana itu – angka kematian tertinggi yang disebabkan oleh hujan yang melanda Jepun dalam masa lebih daripada tiga dekad.

“Sebagai sahabat lama Jepun dan sebagai negara yang terdedah kepada banjir semasa musim monsun, Malaysia berasa sangat sedih terhadap kehilangan banyak nyawa dan kemusnahan harta benda disebabkan banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat di barat Jepun,” kata beliau menerusi catatan dalam laman Twitter beliau malam ini.

Dr Wan Azizah juga berharap semoga mereka yang masih hilang dapat ditemukan dengan segera.

Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia bersedia untuk menghulurkan apa-apa bantuan yang mungkin diperlukan oleh Jepun dalam keadaan yang sukar ini.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa rakyat Jepun dapat mengatasi tragedi ini.

Sejak Khamis lepas, sebahagian dari barat Jepun dilaporkan telah mencatatkan tiga kali ganda taburan hujan daripada jumlah hujan biasa bagi keseluruhan Julai dan kira-kira dua juta penduduk telah dipindahkan dari kawasan bencana selepas air sungai melimpahi tebingnya.

– BERNAMA

scroll to top