Tuesday , 25 June 2019

Home » Sukan » Man City menang besar kerana hormat

Man City menang besar kerana hormat

January 10, 2019 11:39 am Category: Sukan A+ / A-
Man City menang besar kerana hormat

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola.

MANCHESTER,. Pengendali Manchester City, Pep Guardiola menyatakan pendekatan tanpa belas pasukannya ketika menang besar 9-0 ke atas kelab divisyen tiga Burton Albion adalah kerana rasa hormat ke atas lawan dan pertandingan.

City mendahului 4-0 pada babak pertama tetapi terus membelasah lawan di babak kedua untuk mencatat kemenangan paling besar pada separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris di Etihad, awal pagi tadi.

“Jika anda lupa untuk meneruskan (serangan) bermakna anda tidak menghormati lawan atau pertandingan ini,” kata Guardiola.

“Kami bercakap mengenainya ketika rehat, bermain dengan mudah dan cuba menjaringkan lebih banyak gol. Itu cara terbaik untuk menghormati pertandingan dan lawan. Cara terbaik adalah melakukan apa yang perlu.

“Perbezaan antara pasukan Liga Perdana dan League One, sudah tentu kualiti pemain, tapi paling utama adalah rentak. Apabila anda mempunyai intensiti dan rentak untuk 90 minit, akhirnya mereka akan tewas.”

City selaku juara bertahan Piala Liga kini sudah boleh membuat persiapan untuk final di Wembley bulan depan walaupun masih ada aksi timbal balik di Stadium Pirelli pada 23 Januari ini.

Gabriel Jesus meledak empat gol dengan Kevin de Bruyne, Oleksandr Zinchenko, Phil Foden, Kyle Walker dan Riyad Mahrez masing-masing menyumbang satu gol dalam menamatkan perjalanan epik skuad kendalian Nigel Clough.

Guardiola bercakap dengan beberapa pemain Burton di padang selepas perlawanan dan memuji pencapaian kelab itu layak ke separuh akhir, perjalanan yang menyaksikan mereka menyingkirkan kelab Liga Perdana, Burnley, kelab Liga Kejuaraan, Aston Villa, Nottingham Forest dan Middlesbrough.

“Burton bertindak menakjubkan pada kejohanan ini. Mereka patut berbangga kerana mereka beraksi mengagumkan,” kata pengendali dari Sepanyol itu.

Bos Burton, Clough, anak lelaki Brian Clough, bekas pengurus kelab juara Piala Eropah, Nottingham Forest menyatakan beliau tidak terkejut dengan keputusan itu.

“Kami memang menjangkakan jurang antara dua pasukan ini, kami fikir ia mungkin lebih lagi. Kami tidak banyak melakukan kesilapan, dua atau tiga daripada gol itu mungkin boleh dielakkan tapi kami tidak bermain terlalu teruk,” katanya.

– Reuters

scroll to top