Wednesday , 26 September 2018

Home » Bencana » Mangsa banjir di Pahang meningkat

Mangsa banjir di Pahang meningkat

January 13, 2018 8:02 am Category: Bencana, Nasional A+ / A-
Mangsa banjir di Pahang meningkat

KUANTAN,. Hujan berterusan yang masuk hari kedua menyebabkan jumlah mangsa banjir di Pahang terus meningkat kepada 1,290 mangsa membabitkan 331 keluarga yang ditempatkan di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah, setakat jam 10 malam.

Jumlah berkenaan meningkatkan berbanding seramai 738 orang daripada 188 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS, pada jam 5 petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff, berkata jumlah mangsa di daerah Pekan terus meningkat kepada 1,165 orang daripada 297 keluarga yang ditempatkan di 10 PPS.

“Sebanyak dua PPS baharu dibuka petang tadi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang yang menempatkan seramai 322 mangsa daripada 13 keluarga dan SK Sri Biram yang menempatkan 51 orang daripada 13 keluarga.

“Selain itu, lapan lagi PPS di Pekan adalah SK Seri Mutiara yang menempatkan seramai 375 mangsa daripada 94 keluarga; SMK Peramu Jaya (121 orang, 35 keluarga); SK Temai (93 orang, 24 keluarga) dan Pusat Pemindahan Pulau Manis (75 orang, 22 keluarga).

“PPS lain ialah Pusat Pemindahan Kampung Lamir membabitkan 50 orang daripada tujuh keluarga; Dewan Serbaguna Tanjung Pulai (39 orang, 14 keluarga); SK Seri Terentang (30 orang dan 5 orang) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Acheh (9 orang, dua keluarga),” katanya.

Bagi daerah Rompin pula, Zainal berkata seramai 125 mangsa daripada 34 keluarga masih ditempatkan di dua PSS sejak semalam.

“Dua PPS berkenaan iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Tekek yang menempatkan seramai 63 orang daripada 15 keluarga dan Dewan Orang Ramai Leban Chondong (62 orang, 19 keluarga),” katanya.

Sementara itu, berdasarkan laman web infobanjir.water.gov.my sehingga jam 10 malam, bacaan paras air di tiga sungai di negeri ini melepasi tahap amaran atau jingga yang boleh menyebabkan kawasan sekitar dinaiki air.

Tiga sungai berkenaan adalah Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan dengan bacaan 10.17 meter (10.30 meter paras bahaya), Sungai Lipis di Batu Malim, Lipis 114.29 meter (114.80 meter paras bahaya) dan Sungai Belat di Seri Damai di sini 4.20 (5.00 meter paras bahaya).

scroll to top