Friday , 21 September 2018

Home » Artikel Pilihan » Manifesto BN lihat pekerja nadi penggerak transformasi negara

Manifesto BN lihat pekerja nadi penggerak transformasi negara

April 30, 2018 3:27 pm Category: Artikel Pilihan, Bisnes, Ekonomi, Nasional A+ / A-
Manifesto BN lihat pekerja nadi penggerak transformasi negara

KUALA LUMPUR,. Golongan pekerja diiktiraf sebagai instrumen penting yang akan membawa Malaysia antara 20 negara maju menjelang 2050 sebagaimana yang terpahat dalam visi Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Sebagai nadi penggerak transformasi negara, kerajaan telah menyusun pelbagai rancangan untuk memastikan kebajikan kira-kira 15.08 juta pekerja di negara ini terjamin, apatah lagi ketika tempias Revolusi Industri 4.0 yang menekankan pembinaan teknologi realiti maya tanpa banyak menggunakan tenaga manusia semakin dirasai.

Kerisauan sesetengah pihak terutama golongan muda bahawa Revolusi 4.0 akan mengecilkan peluang pekerjaan di negara ini pantas dijawab dalam Manifesto Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan jaminan lebih tiga juta peluang pekerjaan diwujudkan dalam tempoh lima tahun.

Berdasarkan perancangan teliti yang telah disusun dan ada yang sedang giat dilaksanakan kerajaan, angka tiga juta peluang pekerjaan ini sudah pasti tidak sukar untuk dicapai, malah tidak mustahil akan menjana lebih banyak peluang pekerjaan.

Antara inisiatif yang bakal dilaksanakan ialah mempercepat pembangunan Lembah Wawasan Malaysia yang dijangka mewujudkan 1.3 juta peluang pekerjaan; menyemarakkan industri berteknologi tinggi untuk mencipta lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi; mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan dalam keusahawanan sosial melalui dana khas daripada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC); mengurangkan kebergantungan pekerja asing; serta memperluas amalan waktu kerja fleksibel di sektor awam.

BN juga menawarkan peluang latihan kemahiran dan pekerjaan kepada anak-anak yang kurang bernasib baik; memperluas peluang pekerjaan bagi warga kelainan upaya dengan mewujudkan sebuah portal sehenti khas untuk memasarkan perkhidmatan mereka serta menubuhkan Zon Ekonomi Khas Bukit Kayu Hitam di Kedah yang akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi anak-anak muda dan rakyat Kedah keseluruhannya.

Timbalan Pengerusi Pemuda BN Senator Khairul Azwan Harun berkata tambahan tiga juta peluang pekerjaan baharu dan berpendapatan tinggi yang bakal diwujudkan untuk rakyat Malaysia itu adalah bukti komitmen BN.

Menurut beliau, tawaran itu tidak cenderung kepada satu golongan dan BN komited mewujudkan peluang pekerjaan untuk segenap lapisan masyarakat.

Tentu sekali jaminan seumpama itu menarik minat golongan belia terutamanya graduan yang baru menamatkan pengajian.

Penuntut universiti awam Nur Sakinah Ramli, 25, dari Kuala Nerang, Kedah berkata inisiatif yang ditawarkan itu mampu menangani masalah pengangguran dalam kalangan graduan yang disumbang oleh pengambilan pekerja asing.

“Peluang ini memberi ruang kepada graduan muda untuk mencurahkan idea-idea bernas yang dapat menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara pada masa depan,” katanya kepada Bernama.

Penuntut institusi pengajian tinggi swasta Norsyamilah Abdullah, 27, dari Felda Sungai Tiang, Pendang pula berkata aspek pekerjaan dalam Manifesto BN ini diharap akan menampilkan lebih banyak program seperti Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang diwujudkan bagi membantu golongan muda.

Program seperti SL1M ini dapat membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan mempersiapkan mereka dengan ilmu, kemahiran dan pengalaman bekerja yang dapat diguna pakai oleh graduan muda untuk mendapatkan pekerjaan.

Nur Ilham Zamri, 19, dari Kelantan yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik di sebuah politeknik pula berkata janji kerajaan menyemarakkan industri berteknologi tinggi bagi mencipta lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi, memberikan kelegaan kerana ia menjamin peluang pekerjaan.

Tidak cukup dengan tawaran tiga juta peluang pekerjaan, baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengumumkan tambahan satu juta peluang pekerjaan baharu menerusi program MyApprenticeship.

MyApprenticeship adalah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan bertumpu kepada penempatan graduan belia, wanita, diploma dan ijazah serta pekerja di sektor awam dan swasta sebagai perantis dalam mendapatkan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kerja yang berharga demi kebolehpasaran mereka.

Program berkenaan diterajui Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kewangan membabitkan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Pendidikan Tinggi; Kementerian Pendidikan dan Blue Ocean Corporate Council.

— BERNAMA

scroll to top