Saturday , 23 June 2018

Home » Nasional » Manyin Janji Kemenangan Bersih Kepada BN Di Kawasan Bidayuh

Manyin Janji Kemenangan Bersih Kepada BN Di Kawasan Bidayuh

January 14, 2018 8:13 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Manyin Janji Kemenangan Bersih Kepada BN Di Kawasan Bidayuh

Datuk Seri Michael Manyin Jawong

KUCHING, 13 Jan (Bernama) — Pengundi Bidayuh di negeri ini berjanji akan memberikan kemenangan bersih kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Michael Manyin Jawong.

Beliau berkata masyarakat Bidayuh tidak pernah lupa akan jasa kerajaan selama ini yang berusaha untuk memajukan kaum itu dalam pelbagai bidang selain turut menyokong penuh inisiatif ekonomi digital Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk melonjakkan ekonomi Sarawak.

“Lebih 200,000 kaum Bidayuh di negeri ini berdiri teguh di belakang Abang Johari yang juga Presiden PBB.

“Kita kaum Bidayuh harus membalas budi kerajaan Barisan Nasional pada PRU14 nanti, dan kita menjanjikan kemenangan bersih bagi BN di kawasan Bidayuh,” katanya pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Tiga Tahun Sekali Cawangan-Cawangan Parti PBB Zon 3, iaitu Serembu, Mambong, Tarat, Tebedu, Kedup dan Bukit Semunja oleh Abang Johari di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang masing-masing juga Timbalan Presiden PBB serta Setiausaha Agung PBB Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.

Bagaimanapun, Manyin yang juga Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi berkata masyarakat Bidayuh masih memerlukan pembangunan khususnya dalam bidang ekonomi, kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, pendidikan dan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air paip.

— BERNAMA

scroll to top