Friday , 15 December 2017

Home » Nasional » Masa Depan Rakyat, Negara keseluruhannya – Najib

Masa Depan Rakyat, Negara keseluruhannya – Najib

December 8, 2017 7:00 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Masa Depan Rakyat, Negara keseluruhannya – Najib

KUALA LUMPUR,. Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mempunyai misi yang amat besar dalam menentukan survival bangsa, masa depan rakyat serta negara keseluruhannya, bukan hanya demi UMNO dan Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden UMNO itu berkata ini kerana pilihan raya umum itu akan meletakkan rakyat di satu persimpangan pemutus, lagi monumental yang akan menjadi penentu kepada nasib negara ini.

“Ternyata ini bukan soal main-mainan, sebabnya percaturan perjuangan kali ini, cukup serius dan tidak ada tawar menawarnya lagi,” kata beliau semasa menyampaikan ucapan dasar bertajuk ‘UMNO: Pelaksana Wasiat Pusaka, Harapan Sejati Kesejahteraan Negara Bangsa’ dan merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Dalam ucapannya yang penuh bersemangat itu, Najib berkata UMNO telah terbukti sebagai satu-satunya parti yang masih bertahan teguh dalam membela kepentingan orang Melayu Bumiputera serta rakyat selain kekal sebagai petunjang utama kepada komponen BN.

Perdana Menteri turut menggambarkan mimpi ngeri dan nasib buruk yang bakal menimpa sekiranya UMNO dan BN gagal mempertahankan kerajaan sedia ada dalam PRU14 yang dikatakan sudah semakin hampir.

“Pertamanya, sanggupkah kita membiarkan agama Islam dan syiarnya, diperlekeh dan diperhinakan di tanah ini ?

Keduanya, tergamakkah kita, melihat kedudukan Institusi Raja-Raja Melayu tidak lagi dimulia, bahkan akan didurhakai, manakala institusi-institusi kebanggaan orang Melayu Bumiputera seperti Mara (Majlis Amanah Rakyat), FELDA serta Tabung Haji serta-merta pula nanti akan disisihkan,? soal Najib di hadapan 5,628 anggota perwakilan dari 191 Bahagian UMNO seluruh negara.

Najib turut membayangkan nasib institusi kebanggaan UMNO dan Bumiputera iaitu Universiti Teknologi MARA yang sudah pasti akan digagalkan objektifnya begitu sahaja, sekiranya pihak lawan memerintah, manakala penjawat awam yang menjadi tukang belakang kerajaan ketika ini akan dikurangkan jumlahnya.

“Dan sudah tentu sekali, kesumat pihak lawan, sejak sekian lama, terhadap keistimewaan orang Melayu Bumiputera, sebagai leluhur jati di pertiwi ini, dari bangsa yang mulia lagi merdeka, akan dipijak-pijak maruah dan tergadailah keindukannya.

“Bahkan, lebih buruk dari itu, akan merempat, dicelakakan sehina-hinanya sehingga terbangsat di tanah air sendiri,” kata beliau. Dalam ucapannya itu, Najib turut mengajak kesemua anggota UMNO membayangkan sama ada mereka masih berpeluang berkumpul di Dewan Merdeka yang penuh keramat itu jika UMNO dan BN tumpas ke tangan lawan.

“Masih terdengarkah lagi, gemanya selawat ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad Sollallahhu a’laihi wasallam yang kita kasihi. Mungkinkah dibenar berkumandangnya lagi lagu-lagu patriotik UMNO lambang bangsa bertuah ini. Bolehkah panji-panji UMNO terus berkibar?

“Mampukah kita menahan rasa sebak dan sedih di dada, apabila kita tidak lagi bisa berkumpul seperti ini, dalam satu keluarga besar sebagai adik beradik UMNO,” katanya.

Presiden UMNO itu berkata ketika itu, barulah anggota parti sedar mengenai nikmatnya sebuah kesatuan dan mulianya hidup dalam perjuangan di bawah rimbunnya payungan UMNO, namun ketika itu semuanya tidak bererti.

“Pada waktu itulah, apabila cucu-cicit keturunan kita bertanya, kenapakah kita kecundang dan membiarkan semua ini berlaku”

“Jawapannya.. hanyalah dengan raut wajah sejuta penyesalan, sambil berlinang air mata, kita hanya mampu berkata kepada mereka, wahai anak cucuku, ampunkan, ampunkanlah dosa-dosa kami ini,” kata Najib.

— BERNAMA

scroll to top