Friday , 26 April 2019

Home » Bisnes » Masalah rangkaian dan harga aduan tertinggi 2018

Masalah rangkaian dan harga aduan tertinggi 2018

March 29, 2019 7:51 am Category: Bisnes, Nasional, Teknologi A+ / A-
Masalah rangkaian dan harga aduan tertinggi 2018

Pada tahun lepas aduan tertinggi dicatatkan adalah mengenai masalah rangkaian yang mencatatkan peningkatan sebanyak 54 peratus dengan jumlah sebanyak 1,919 aduan diterima berbanding 1,247 aduan pada 2017. - Gambar hiasan

CYBERJAYA,. Aduan daripada pengguna perkhidmatan komunikasi dan multimedia mengenai rangkaian dan harga adalah antara yang tertinggi bagi 2018, kata Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM).

Pengerusi CFM, Mohamad Yusrizal Yusoff, berkata pada tahun lepas aduan tertinggi dicatatkan adalah mengenai masalah rangkaian yang mencatatkan peningkatan sebanyak 54 peratus dengan jumlah sebanyak 1,919 aduan diterima berbanding 1,247 aduan pada 2017.

“Antara isu berkaitan di bawah kategori rangkaian yang paling banyak dilaporkan ialah mengenai gangguan perkhidmatan dan perkhidmatan tidak dapat digunakan. Gangguan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) merupakan aduan paling tinggi direkodkan pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

CFM berkata aduan mengenai harga pula menunjukkan peningkatan ketara dari segi jumlah aduan yang diterima pada 2018 iaitu sebanyak 505 aduan berbanding tahun sebelumnya yang hanya menerima sebanyak 33 aduan.

“Aduan tentang harga meningkat bermula pada September sehingga akhir tahun lalu dan ia merupakan kali pertama kategori aduan ini menjadi lima kategori aduan tertinggi.

“Kami banyak menerima aduan tentang isu harga dan peningkatan aduan ini disebabkan oleh pakej-pakej baharu yang menarik serta kadar harga strategik yang ditawarkan kepada pelanggan baharu namun pelanggan sedia ada tidak berpuas hati kerana penyedia perkhidmatan menetapkan terma dan syarat yang tidak berpihak kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata inisiatif kerajaan bagi mencapai ‘pengurangan harga dan kelajuan berganda’ adalah usaha yang memberi manfaat kepada pengguna namun ia bukanlah inisiatif yang dapat direalisasikan dengan mudah.

“Ia merupakan usaha yang memakan masa dan memerlukan usaha sama daripada pelbagai pihak,” katanya.

Mohamad Yusrizal berkata pada tahun lepas, pihaknya menerima sebanyak 6,330 aduan yang mencatatkan peningkatan 33 peratus berbanding jumlah aduan yang diterima pada 2017 iaitu 4,746 aduan.

“Mengikut rekod CFM, aduan mengenai perkhidmatan selular kekal paling tinggi dari tahun ke tahun iaitu sebanyak 2,513 aduan pada 2018,” katanya.

Katanya, aduan mengenai HSBB meningkat paling banyak pada tahun lepas iaitu sebanyak 2,337 aduan diterima berbanding pada 2017 iaitu sebanyak 714 aduan diterima CFM.

Beliau berkata peningkatan aduan HSBB adalah disebabkan oleh permintaan tinggi daripada pengguna yang inginkan perkhidmatan HSBB tersedia di kawasan mereka.

Mohamad Yusrizal berkata CFM sentiasa bertindak sebagai pemudah cara kepada pengguna dengan berkongsi petua dan panduan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang sering dihadapi pengguna dalam perkhidmatan telekomunikasi dan multimedia agar pengguna lebih peka dan tahu untuk mengamalkan kawalan kendiri.

Dalam pada itu, katanya CFM dengan kerjasama penyedia perkhidmatan telah menyelesaikan 88 peratus aduan daripada jumlah keseluruhan aduan diterima dalam tempoh kurang daripada 15 hari. — Bernama

scroll to top