Wednesday , 23 May 2018

Home » Bisnes » Masnizam Hisham dilantik Presiden, CEO Prasarana

Masnizam Hisham dilantik Presiden, CEO Prasarana

January 18, 2018 3:56 pm Category: Bisnes, Nasional A+ / A-
Masnizam Hisham dilantik Presiden, CEO Prasarana

Masnizam Hisham

KUALA LUMPUR,. Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) melantik Masnizam Hisham sebagai Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan yang baharu bagi Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana).

Pelantikan itu adalah bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa serta-merta, menggantikan Datuk Sri Azmi Abdul Aziz yang tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Disember 2017.

Demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini.

Masnizam sebelum ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif, Prasarana Integrated Management and Engineering Services Sdn Bhd (PRIME), anak syarikat milik penuh Prasarana.

Beliau berkhidmat di Prasarana selama 12 tahun dari tahun 2005 sebagai Ketua Bahagian Perundangan dan Setiausaha Syarikat di RapidKL selain menjawat Ketua Bahagian Perolehan Kumpulan, Ketua Bahagian Komunikasi dan Pemasaran Strategik serta Ketua Pegawai Perkhidmatan Infrastruktur Prasarana.

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif PRIME, beliau bertanggungjawab dalam memastikan kejayaan Projek Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro-Southern Line (MMMSL) di Arab Saudi, latihan pekerja MRT Jakarta dan pembangunan infrastruktur Prasarana termasuk perolehan tren, bas dan pembinaan depot.

Pelantikan beliau bertepatan dengan pertambahan peranan Prasarana yang membabitkan pengoperasian LRT, Monorail, MRT, Bus Rapid, Feri Pulau Pinang serta Rapid Transit System (RTS) yang membabitkan Kerajaan Malaysia dan Singapura.

“Dengan pelantikan itu, adalah diyakini bahawa beliau berupaya memastikan kecekapan dan keberkesanan pengurusan serta operasi Prasarana dapat diteruskan dan dipertingkatkan.

“MKD merakamkan penghargaan kepada Azmi yang memberikan perkhidmatan cemerlang sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana sebelum ini,” kata kenyataan itu.

scroll to top