Saturday , 17 November 2018

Home » Bisnes » Mavcom pastikan perlindungan penumpang/pengguna, kata Pengerusi

Mavcom pastikan perlindungan penumpang/pengguna, kata Pengerusi

June 22, 2018 7:48 am Category: Bisnes, Nasional A+ / A-
Mavcom pastikan perlindungan penumpang/pengguna, kata Pengerusi

Tan Sri Abdullah Ahmad

KUALA LUMPUR,. Susulan kritikan terhadap Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), pengerusi eksekutifnya berkata, pengawal selia industri lapangan terbang dan syarikat penerbangan itu kini memberi lebih tumpuan pada soal perlindungan penumpang/pengguna.

Tan Sri Abdullah Ahmad, jeneral Tentera Udara yang telah bersara, berkata sejak penubuhannya dua tahun lepas, Mavcom telah menerima lebih 3,900 aduan awam dan berjaya menyelesaikan kira-kira 93 peratus daripada aduan tersebut dalam tempoh 30 hari.

“Saya ingin tekankan di sini bahawa selain mengawal selia syarikat penerbangan dan lapangan terbang, kehadiran Mavcom adalah untuk menjaga dan melindungi rakyat yang menjadikan penerbangan sebagai cara perjalanan mereka.”

“Kami bukan badan mengaut keuntungan, tetapi apa yang kami utamakan ialah menjaga kebajikan pengguna dengan memastikan penumpang dapat atas apa yang mereka bayar dan memastikan semua aduan yang dibuat diambil tindakan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Abdullah berkata sebelum ini, sebarang aduan yang dibuat penumpang tertakluk budi bicara syarikat penerbangan sama ada diambil tindakan ataupun tidak.

Bagaimanapun, sejak penubuhan Mavcom, isu ini tidak lagi timbul dengan penumpang akan mengemukakan aduan mereka kepada syarikat penerbangan dan salinan aduan itu dikemukakan kepada Mavcom.

“Sekiranya syarikat penerbangan berkenaan tidak respons dalam tempoh tujuh hari, kami akan bertindak. Kami akan memastikan aduan pengguna itu dilihat dan diselesaikan, dan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) Mavcom adalah untuk menyelesaikannya dalam tempoh 30 hari,” katanya.

Kritikan terhadap Mavcom kebanyakannya datang daripada syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia apabila Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Tony Fernandes berkata industri penerbangan tidak memerlukan badan pengawalseliaan sedemikian dan Kementerian Pengangkutan mampu mengembangkan industri penerbangan tempatan tanpa Mavcom.

Fernandes berkata berurusan dengan Mavcom seperti ‘satu seksaan’ kepada AirAsia dan beliau akan terus memperjuangkan amalan industri yang adil dan menuntut keputusan dibuat berdasarkan kepentingan rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia itu membuat kenyataan tersebut sebagai tindak balas terhadap laporan polis dibuat Mavcom pada 16 Mei berhubung dakwaannya bahawa pengawal selia penerbangan itu mengarahkan syarikat penerbangan itu membatalkan kesemua 120 penerbangan tambahan yang diminta bagi menampung peningkatan permintaan semasa pilihan raya umum baru-baru ini.

Tetapi AirAsia menyatakan ia mempunyai bukti dan fakta untuk menyokong dakwaan itu dan akan mendedahkannya pada masa yang tepat.

Seorang bekas anggota jawatankuasa pemandu untuk menubuhkan Mavcom, Tan Sri Abdul Gani Patail, juga mempertahankan Mavcom, dengan menyatakan berikutan industri penerbangan awam berkembang dengan pesat, terdapat keperluan mendesak memastikan perlindungan dan hak penumpang diberikan keutamaan dan tidak diabaikan.

Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia juga mempertikaikan peranan Mavcom dan mempersoalkan levi RM1 yang dikenakan ke atas penumpang.

Berhubung perkara itu, bekas Peguam Negara itu menjelaskan levi RM1 dikenakan ke atas penumpang ketika berlepas dari lapangan terbang Malaysia, kecuali penumpang yang menggunakan Perkhidmatan Luar Bandar di kawasan terpencil di Sabah dan Sarawak, adalah ?satu pelaburan berbaloi demi ketenangan fikiran?

Mengulas lanjut tentang fungsi Mavcom, Abdullah berkata aduan yang diterima dibahagikan kepada tiga kategori iaitu bayaran balik, tuntutan bagasi dan kelewatan penerbangan.

Tuntutan bagasi membabitkan bagasi hilang, lewat sampai atau rosak dan apa hak penumpang jika penerbangan lewat lebih daripada enam jam dan bentuk pampasan jika lewat lebih daripada 13 jam.

“Setakat ini, menerusi kaji selidik dijalankan pihak kami, hanya 65 peratus daripada masyarakat kita tahu dan faham tentang perlindungan pengguna. Mavcom akan terus memberi lebih banyak penerangan dan pendidikan kepada orang ramai bagi memberikan pengetahuan tentang perlindungan pengguna,” katanya.

Abdullah berkata kebanyakan negara maju juga mempunyai badan pengawal selia bebas seperti Mavcom untuk membantu menyelesaikan ‘pelbagai masalah dalam industri penerbangan’.

— BERNAMA

scroll to top