Friday , 20 July 2018

Home » Bisnes » MAVCOM selesai 99.7 peratus kes aduan penerbangan

MAVCOM selesai 99.7 peratus kes aduan penerbangan

March 13, 2018 4:49 pm Category: Bisnes, Nasional A+ / A-
MAVCOM selesai 99.7 peratus kes aduan penerbangan

MAVCOM

KUALA LUMPUR,. Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) berjaya menyelesai dan menutup 99.7 peratus daripada sejumlah 735 kes aduan yang diterima sepanjang tempoh enam bulan dari Julai hingga Disember 2017.

Kejayaan itu adalah berdasarkan kepada Laporan Pengguna MAVCOM edisi ketiga, yang memberi gambaran terperinci mengenai aduan terhadap syarikat penerbangan dan lapangan terbang yang beroperasi dalam sektor berkenaan.

Pengerusi Eksekutifnya, Jen (B) Tan Sri Abdullah Ahmad, berkata perkembangan itu menandakan peningkatan dari segi prestasi MAVCOM, meskipun jumlah aduan diterima meningkat sebanyak 23 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“MAVCOM mengalu-alukan pengguna untuk mengemukakan maklum balas, kerana kami yakin ia adalah sesuatu yang baik bagi sektor penerbangan dalam jangka panjang.

“Kami sedar mandat diberikan adalah bagi memastikan semua aduan ditangani, diselesai dan ditutup dalam masa yang ditetapkan sekali gus membuktikan tanda komitmen kepada pengguna penerbangan di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam laporan berkenaan, Malaysia Airlines mewakili 39.6 peratus daripada jumlah aduan keseluruhan yang diterima oleh MAVCOM iaitu 291 aduan berbanding 157 tempoh sama tahun sebelumnya.

AirAsia dan Malindo Air masing-masing menerima aduan sebanyak 23 dan 22.9 peratus.

Bagaimanapun, jumlah aduan difailkan kepada AirAsia untuk tempoh sama susut 23.9 peratus manakala Malindo Air meningkat 46.1 peratus.

Abdullah berkata, secara purata, MAVCOM menerima sebanyak 17 aduan bagi setiap sejuta penumpang sepanjang tempoh enam bulan itu dan kategori tertinggi ialah kehilangan, kerosakan dan kelewatan bagasi, pemprosesan bayaran balik serta penundaan penerbangan.

“Bilangan aduan yang diterima bagi kategori ini meningkat dari tahun sebelumnya, khususnya lonjakan yang ketara berkenaan isu kesalahan pengendalian bagasi,” katanya.

Sementara itu, MAVCOM turut menekankan kepada pembangunan kepada cadangan pindaan terhadap Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC).

Antara cadangan pindaan MACPC termasuklah peraturan berkaitan fi dan caj yang dikenakan ke atas pengguna, serta fi bagi bayaran balik Caj Perkhidmatan Penumpang, pentadbiran, penyediaan bantuan kas dan pemprosesan kad kredit yang dijadual dilaksana pada suku ketiga 2018.

scroll to top