Tuesday , 23 July 2019

Home » Bisnes » MDEC akan tubuhkan unit AI disertai pakar tempatan, antarabangsa

MDEC akan tubuhkan unit AI disertai pakar tempatan, antarabangsa

July 5, 2019 7:05 am Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
MDEC akan tubuhkan unit AI disertai pakar tempatan, antarabangsa

KUALA LUMPUR,. Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mewujudkan unit kecerdasan buatan (AI) bagi menyokong penubuhan rangka kerja AI kebangsaan yang telah bersedia melebihi 50 peratus pada masa ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Surina Shukri berkata unit itu disertai pakar-pakar tempatan dan antarabangsa bagi memastikan Malaysia berada di landasan yang tepat untuk membangunkan ekosistem AI.

Beliau berkata pakar antarabangsa tersebut telah dikenal pasti dan bersedia membantu Malaysia dalam membangunkan industri berkenaan.

Sambil memberikan contoh, beliau berkata United Kingdom turut mempunyai unit AI seumpama itu dengan kerjasama kesemua agensi berkaitan dengan memberi lebih tumpuan kepada AI.

“Kami masih dalam proses mendapatkan maklum balas. Topik tersebut adalah penting dan kami perlu memastikan untuk berfikir dalam aspek yang tepat,” katanya pada sidang akhbar mengenai “Beyond Paradigm Summit 2019,” anjuran Serba Dinamik Holdings Bhd.

“AI merupakan topik baharu bagi Malaysia. Kita perlu faham dan kami akan berkongsi bagaimana untuk menyertainya tidak kira sama ada bagi pihak industri, kerajaan dan akademia. Jadi, kami akan menggariskan perkara-perkara tersebut,” katanya.

Surina berkata pelbagai inisiatif dan bengkel telah dilaksanakan sejak awal tahun ini bagi menubuhkan rangka kerja AI kebangsaan itu yang dijangka dilancarkan pada akhir tahun ini.

Beliau turut menekankan kepentingan mentransformasi negara untuk menjadi hab AI dan meletakkan rangka kerja asas serta dasar yang berkaitan teras utama Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) menerusi penglibatan sektor swasta dan agensi berkaitan secara berterusan untuk memainkan peranan penting dalam transformasi digital.

Beliau berharap sidang kemuncak yang akan diadakan di Pusat Dagangan & Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, pada 17 dan 18 Julai ini akan menjadi antara platform yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan untuk mengumpulkan input mengenai AI bagi memanfaatkan perniagaan, pengguna dan masyarakat.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) ialah penganjur bersama “Beyond Paradigm Summit 2019,” manakala MDEC dan Microsoft merupakan rakan kongsi rasmi. TM One pula bertindak sebagai rakan kongsi teknologi dalam sidang kemuncak itu.

Selain di ibu negara, sidang kemuncak tersebut akan diadakan di Hotel Pullman, Sarawak pada 20 hingga 21 Julai untuk mempamerkan peluang-peluang yang ditawarkan dalam teknologi IR 4.0.

— BERNAMA

scroll to top