Friday , 15 December 2017

Home » Nasional » MEF cadang hapuskan had pelepasan cukai pendapatan

MEF cadang hapuskan had pelepasan cukai pendapatan

October 12, 2017 3:43 pm Category: Nasional A+ / A-
MEF cadang hapuskan had pelepasan cukai pendapatan

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Samsuddin Bardan.

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mencadangkan kerajaan menghapuskan had pelepasan cukai pendapatan individu dalam Bajet 2018 bagi meringankan tekanan kewangan rakyat yang terdiri daripada kumpulan berpendapatan 40 peratus sederhana (M40).

Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Samsuddin Bardan, berkata ketika ini kerajaan menyediakan pelepasan cukai berkenaan berjumlah RM6,000 untuk dituntut individu berdasarkan sumbangannya dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan bayaran premium insurans hayat.

Namun, katanya, berikutan peningkatan tahap pendapatan rakyat, sumbangan KWSP kini sudah hampir memenuhi had tuntutan pelepasan cukai RM6,000 dan hanya meninggalkan sebahagian kecil pelepasan yang boleh dituntut untuk premium insurans.

“Rebat menerusi KWSP yang diberikan juga tidak banyak, ia antara faktor lain MEF mencadangkan perkara berkenaan bagi meringankan beban golongan pertengahan.

“Pada masa sama, saya berharap pelepasan cukai berasingan diberikan bagi caruman KWSP dan cukai premium insurans hayat.

“Ia akan elakkan kekeliruan, selain akan menggalakkan perancangan kewangan yang lebih teratur dan efektif pada masa akan datang,” katanya pada hari ini.

Selain itu, katanya, MEF berharap kerajaan menggubal undang-undang baharu dengan menyeragamkan syarat dan kategori borang taksiran cukai pendapatan.

“Ketika ini, ada lebih 10 kategori pelepasan cukai berkenaan, sebagai contoh barangan sukan dan pemeriksaan perubatan penuh masing-masing, RM 300 (terhad) dan RM500 (terhad).

“Saya berpendapat kalau dapat diseragamkan, letak dalam satu borang semua perkhidmatan dan barangan boleh dituntut, ini akan memudahkan proses tuntutan berkenaan bagi kedua-dua pihak iaitu rakyat dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya.

BH

scroll to top