Friday , 15 December 2017

Home » Nasional » Melaka sediakan rumah paling mampu milik -Idris Haron

Melaka sediakan rumah paling mampu milik -Idris Haron

December 8, 2017 7:34 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Melaka sediakan rumah paling mampu milik -Idris Haron

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron

MELAKA,. Melaka sekali lagi diiktiraf sebagai negeri yang menyediakan rumah paling mampu dimiliki di Malaysia.

The Edge Markets dalam laporannya Oktober lalu menyebut, negeri itu menyediakan rumah paling mampu dimiliki dengan indeks 2.43 (nisbah median harga rumah kepada pendapatan median tahunan isi rumah).

Laporan itu juga menyebut, rumah paling tidak mampu dimiliki berada di Kuala Lumpur, dengan indeks 6.88 dan Pulau Pinang pada tahap 6.32.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, berkata pengiktarafan itu membuktikan daya usaha berterusan dan komitmen Kerajaan Negeri Melaka untuk menyediakan kemudahan perumahan mencukupi dan mampu milik menampakkan kesan positif.

Beliau berkata, bagi mengekalkan daya saing pembinaan rumah mampu milik, kerajaan negeri telah menetapkan dasar pembinaan rumah mampu milik sejak tahun 2014.

Dasar itu, katanya, antara lain mewajibkan pemaju projek perumahan melebihi lapan ekar (3.24 hektar) untuk membina 40 peratus rumah mampu milik dalam projek pembangunan itu.

“Harga rumah mampu milik ditetapkan tidak melebihi RM180,000 seunit dengan keluasan minimum 1,000 kaki persegi, mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air.

“Sehingga kini, pencapaian Melaka dalam sektor pembangunan perumahan sangat membanggakan.

“Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan bahawa peratus pemilikan rumah di Melaka ialah 84.4 peratus., lebih tinggi daripada kadar pemilikan peringkat nasional pada kadar 76.1 peratus,” katanya.

Idris berkata, sejak 2013 hingga 30 November 2017, melalui kerjasama erat dengan kerajaan persekutuan, kerajaan negeri telah dan sedang membangunkan 62,821 unit rumah mampu milik di seluruh negeri ini.

Daripada jumlah itu, 30,534 unit rumah mampu milik dibangunkan oleh jabatan dan agensi kerajaan negeri, manakala 32,287 unit rumah mampu milik dibangunkan oleh jabatan dan agensi kerajaan.

Sebanyak 10,174 unit rumah mampu milik telah siap dibina dan diduduki, 24,421 unit sedang dalam pembinaan, 28,226 unit telah mendapat kelulusan dan akan dimulakan pembinaan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, usaha kerajaan negeri itu memberi manfaat serta peluang kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) memiliki rumah sendiri yang selesa dan berkualiti.

Katanya, Melaka juga menerima pengiktirafan Kerajaan Persekutuan, dengan menduduki tangga teratas dalam Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) pada tahun 2016.

Selain itu, kata Idris, kerjasama Awam-Swasta antara Lembaga Perumahan Melaka dan pemaju perumahan Wawasan Intact Properties Sdn Bhd juga mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records, dengan 277 unit rumah mampu milik berjaya disiapkan dalam tempoh lapan bulan.

scroll to top