Tuesday , 23 October 2018

Home » Nasional » Menunggu wakil Sabah, Sarawak dalam Kabinet Persekutuan

Menunggu wakil Sabah, Sarawak dalam Kabinet Persekutuan

May 25, 2018 9:32 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Menunggu wakil Sabah, Sarawak dalam Kabinet Persekutuan

BARU-BARU ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pelantikan 15 Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) sebagai Menteri Persekutuan yang baharu.

Pelantikan dibuat selepas Dr Mahathir menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di Istana Negara dan menyerahkan senarai nama Ahli Parlimen berkenaan mengikut Perenggan (b) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Namun, masih menjadi tanda tanya kerana pelantikan hanya membabitkan wakil rakyat dari Semenanjung dan tiada wakil dari Sabah dan Sarawak, sedangkan dua negeri itu turut menyumbang kepada kejayaan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Atas sebab itu, sudah ada suara kononnya Sabah dan Sarawak yang menjadi ‘rakan kongsi’ pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, kini diabaikan dan seolah-olah tidak dihargai.

Ketika pemerintahan kerajaan BN penggal lalu, 13 menteri dan lapan timbalan menteri dilantik dari dua negeri terbabit, masing-masing enam menteri dan empat timbalan menteri dari Sabah, manakala tujuh menteri dan empat timbalan menteri dari Sarawak.

Kedua-dua negeri terbabit tidak menuntut jumlah menteri dikekalkan kerana sedar kerajaan mengecilkan jumlah anggota Kabinet, namun mereka mahu Sabah dan Sarawak tidak diabaikan dalam pelantikan Jemaah Menteri.

Timbalan Ketua Majlis Pimpinan PKR Sabah, Mustapha Sakmud yakin PKR negeri itu akan diberi kuota untuk mengisi jawatan menteri Persekutuan dalam lantikan seterusnya, berdasarkan komitmen menyumbang tiga kerusi untuk PH dalam PRU-14.

Katanya, selepas Ketua Pimpinan PKR Sabah, Christina Liew yang juga Pengerusi PH Sabah dilantik Timbalan Ketua Menteri, kini ada dua lagi Ahli Parlimen PKR, iaitu Ahli Parlimen Ranau, Jonathan Yasin dan Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari.

“Ditolak Christina yang juga Ahli Parlimen Tawau, saya difahamkan nama dua Ahli Parlimen itu sudah dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR untuk dipertimbangkan menganggotai Kabinet,” katanya.

WARISAN hantar enam nama

Dalam pada itu, Parti Warisan Sabah (WARISAN) yang menjadi sekutu PH dilaporkan sudah menghantar nama enam Ahli Parlimennya untuk dipertimbangkan sebagai menteri dalam Kabinet Persekutuan.

Antaranya, Timbalan Presiden yang juga Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking; Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong; dan Ahli Parlimen Silam, Datuk Mohammad Din Ketapi.

Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Uda Sulai, berkata secara tradisi, memang ada wakil rakyat dari Sabah yang akan dilantik dalam Kabinet Persekutuan dan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri tidak akan melupakan negeri Borneo itu.

“Saya fikir tiada masalah (lantik menteri dari Sabah) kerana sebelum ini memang ramai yang dilantik sebagai menteri dari negeri ini. Sabarlah dulu kerana nama menteri berkenaan akan diumumkan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Pada PRU-14, hanya PKR dan DAP yang bertanding di Sabah mewakili PH, manakala di Sarawak membabitkan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah). Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak bertanding di dua negeri terbabit.

Keseluruhannya, WARISAN menang lapan kerusi Parlimen di Sabah, DAP dan PKR masing-masing tiga. BN pula memenangi 10 kerusi, manakala Parti Solidariti Tanah Airku (Star) menang satu.

Bagi Sarawak pula, mengikut sumber, antara Ahli Parlimen DAP disebut-sebut dilantik mengganggotai menteri Persekutuan ialah Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen yang juga Pengerusi PH Sarawak, selain Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen.

Wakil PKR disebut-sebut dilantik menjadi menteri pula ialah Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian dan Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju. Seorang lagi Ahli Parlimen PKR di Sarawak ialah Ahli Parlimen Puncak Borneo, Willie Mongin.

Terserah kepada Dr Mahathir untuk memilih siapa menganggotai Kabinetnya namun tidak wajar mengetepikan wakil dua negeri terbabit yang tidak pernah diabaikan peranan mereka secara tradisi sejak pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Pelantikan berkenaan amat penting bagi memastikan Sabah dan Sarawak tidak ketinggalan dalam arus perdana pembangunan negara kerana ada wakil memperjuangkan suara dan kepentingan rakyat.

scroll to top