Monday , 20 August 2018

Home » Artikel Pilihan » Merakyatkan undang-undang berlandas adab

Merakyatkan undang-undang berlandas adab

May 24, 2018 10:38 am Category: Artikel Pilihan, Dewan Negara, Dewan Rakyat, Nasional, Politik A+ / A-
Merakyatkan undang-undang berlandas adab

BERSESUAIAN dengan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kita memerlukan satu undang-undang yang mesra rakyat.

Merakyatkan undang-undang boleh mencetuskan keterbukaan minda, bukan menerbitkan perasaan takut rakyat untuk menyatakan perkara benar dan hak.

Hak keadilan sejagat sebagai rakyat yang terpelihara, menghasilkan insan madani yang lebih bertamadun dan patriotik.

Yang dimaksudkan undang-undang mesra rakyat ialah undang-undang yang dapat membentuk peribadi dan sahsiah individu termasuk masyarakat, bukan mencetuskan kemarahan dan ketakutan rakyat.

Undang-undang juga perlu mudah difahami dan dihayati tujuannya. Undang-undang yang hanya boleh difahami oleh beberapa golongan profesional sahaja akan mengakibatkan masalah kepada rakyat, menjadikan rakyat tidak celik undang-undang.

Contohnya, seseorang yang bankrap tidak tahu bahawa dia sebenarnya boleh keluar daripada kebankrapan kerana ada pelbagai mekanisme yang diperuntukkan undang-undang.

Namun, disebabkan tiada pengetahuan undang-undang, dia menjadi seorang bankrap hampir seumur hidupnya atau untuk suatu tempoh ketika yang sepatutnya boleh dilepaskan daripada belenggu itu.

Ketakutannya apabila mendapat tahu diisytihar bankrap dan tidak celik undang-undang berkaitan insolvensi.

Sudah tentu perkara ini walaupun nampak terpencil, akan turut menimbulkan implikasi ke atas ekonomi negara kerana statistik kebankrapan menjadi satu daripada indikator cerminan ekonomi negara.

Sistem rundingan

Selain itu, penggubalan undang-undang juga perlu membabitkan pandangan rakyat.

Hal ini memang sudah mula dilaksanakan dengan penggubalan undang-undang turut membabitkan pihak berkepentingan serta rakyat dan sewajarnya sistem konsultansi ini diteruskan.

Oleh itu, dicadangkan supaya undang-undang berkaitan kepentingan dan hak rakyat juga perlu diberikan penekanan, contohnya penubuhan ‘ombudsman’.

Penubuhan itu, sama ada secara lantikan individu ataupun penubuhan satu institusi yang bersifat bebas untuk mendengar luahan rakyat berkaitan salah laku, salah guna kuasa atau penyelewengan dan ia hendaklah menjawab hanya kepada Parlimen.

Ia hendaklah bukan satu agensi pengaduan awam yang tertakluk di bawah kerajaan, sebaliknya diberikan kuasa autonomi.

Dengan kuasa itu, agensi berkenaan bebas untuk mendapatkan penjelasan sesiapa juga yang dirasakan secara munasabah boleh atau mengakibatkan berlakunya salah guna kuasa dan penyelewengan.

Yang paling penting, ia tiada kebergantungan kepada kerajaan, sebaliknya kepada Parlimen.

Undang-undang juga perlu dihebahkan serta hendaklah boleh diakses oleh semua rakyat secara percuma.

Tidak wajar jika sekadar untuk mengetahui mengenai sesuatu undang-undang, rakyat perlu membayar. Hal ini berbeza jika memerlukan khidmat nasihat perundangan yang memerlukan kepakaran dan teknikal.

Akses undang-undang

Akses kepada undang-undang bermaksud undang-undang boleh dicapai dengan mudah, termasuk melalui dalam talian.

Oleh itu, langkah mahkamah yang membolehkan penghakiman kes yang telah diputuskan boleh diakses rakyat secara dalam talian, sewajarnya diberi pujian dan perlu diteruskan.

Ini supaya rakyat dapat mengakses dan mengetahui perkembangan semasa undang-undang selain celik undang-undang.

Penubuhan beberapa tribunal seperti sedia ada, iaitu tribunal tuntutan pengguna, tribunal tuntutan perumahan dan pengurusan strata, tribunal koperasi dan beberapa tribunal lain, termasuk ‘ombudsman’ perkhidmatan kewangan juga perlu dihebahkan dengan lebih gigih.

Acap kali nama-nama tribunal ini seolah-olah asing dan tidak difahami rakyat, mengakibatkan institusi kehakiman dilambakkan dengan kes yang sepatutnya boleh didengar oleh tribunal terlebih dahulu dan boleh menjimatkan kos serta masa.

Rakyat tidak didedahkan dengan secukupnya mengenai kewujudan beberapa tribunal yang boleh membantu.

Malah, ada kalanya rakyat tidak membuat apa-apa tuntutan pun kerana berasa ia hal remeh dan sukar kerana perlu ke mahkamah, sedangkan sebenarnya proses tribunal lebih mudah dan ada kalanya percuma.

Fitrah insan

Dalam usaha merakyatkan undang-undang, perlu diingatkan pentingnya undang-undang yang berlandaskan nilai moral dan agama bertepatan dengan fitrah insan madani.

Janganlah digadaikan nilai agama dan moral semata-mata untuk menunjukkan betapa moden dan maju peradaban kita sehingga menyongsang fitrah.

Selain itu, rakyat juga perlu bersedia untuk sama-sama berubah ke arah yang lebih baik.

Ayuh, kita sama-sama berjuang untuk negara kita yang tercinta. Bukan setakat dengan hanya kuasa mengundi, tetapi juga menjaga peradaban kita.

Terus amalkan sikap dan mentaliti bermaruah. Kebijaksanaan apabila berkata-kata dengan berfikir dan menyelidik fakta sebelum berkata-kata, hentikan mencaci sewenang-wenangnya, benci kepada penyebaran fitnah, namun masih berani berkata benar dengan cara berhemah.

Bahasa cerminan budaya bangsa. Sebenarnya, sahsiah dan jati diri bermula dari setiap seorang daripada kita.

Undang-undang sahaja tidak mampu menyelesaikan semua masalah walau semesra manapun undang-undang itu jika peradaban tidak menjadi keutamaan.

Penulis adalah Felo Kanan (Undang-Undang) Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia

–BH

scroll to top