Monday , 24 September 2018

Home » Nasional » Mesyuarat ke-249 Majlis Raja-raja dipersembah taklimat pertahanan dan keselamatan negara

Mesyuarat ke-249 Majlis Raja-raja dipersembah taklimat pertahanan dan keselamatan negara

July 13, 2018 6:40 am Category: Nasional A+ / A-
Mesyuarat ke-249 Majlis Raja-raja dipersembah taklimat pertahanan dan keselamatan negara

Mesyuarat ke-249 Majlis Raja-Raja ,

KUALA LUMPUR,.Mesyuarat ke-249 Majlis Raja-Raja semalam antara lain dipersembahkan dengan taklimat terkini mengenai pertahanan dan keselamatan negara, masing-masing oleh Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata mesyuarat hari kedua itu turut menyentuh perkara-perkara berkaitan pelantikan hakim-hakim Mahkamah Atasan serta perihal agama Islam seperti pelantikan ahli dilantik Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), Lembaga Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) serta Universiti Islam Malaysia.

Dalam kenyataan di sini, beliau berkata majlis mendengar penjelasan dan taklimat mengenai Anugerah Biasiswa Yang di-Pertuan Agong serta Biasiswa Majlis Raja-Raja dan Tuan-tuan Yang Dipertua Negeri yang dibiayai oleh Majlis Raja-Raja melalui Lembaga Kumpulan Wang yang ditubuhkan pada 31 Ogos 1949 seraya diperbadankan melalui Akta 284/83.

Kumpulan wang berkenaan disumbangkan oleh Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dan Tuan-tuan Yang Dipertua Negeri dan diuruskan oleh lembaga pengarah terdiri daripada lima menteri besar/ketua menteri, katanya.

“Biasiswa tersebut dikeluarkan setiap tahun kepada 15 mahasiswa di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Pada masa ini, 40 mahasiswa sedang belajar dengan bantuan biasiswa,” katanya, menambah 475 mahasiswa telah mendapat manfaat daripada biasiswa itu sejak 1967.

Syed Danial berkata lembaga mengeluarkan Pingat-pingat Jaya Cemerlang (PJC) kepada dua siswazah terbaik bagi setiap IPTA dan setakat ini, seramai 727 orang telah menerima Anugerah PJC yang turut mengandungi pingat saduran emas, wang RM7,500 dan sijil.

Pagi tadi Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berangkat menghadiri mesyuarat itu yang berlangsung di Istana Negara.

Keberangkatan baginda diiringi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mesyuarat itu yang bermula semalam, dipengerusikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Turut berangkat pada mesyuarat tersebut ialah raja-raja Melayu, pemangku raja dan Yang Dipertua Negeri.

— BERNAMA

scroll to top