Saturday , 25 May 2019

Home » Bisnes » MISC jangka peroleh lebih banyak kontrak tahun ini

MISC jangka peroleh lebih banyak kontrak tahun ini

April 25, 2019 8:00 am Category: Bisnes A+ / A-
MISC jangka peroleh lebih banyak kontrak tahun ini

KUALA LUMPUR,. MISC Bhd menjangkakan memperoleh lebih banyak projek tahun ini, berasaskan keupayaan syarikat melaksanakan kontrak baharu bernilai antara US$2 bilion dan US$3 bilion, berbanding projek US$1 bilion yang diraihnya pada 2018, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Yee Yang Chien.

Beliau berkata setakat suku pertama bagi 2019, syarikat perkapalan itu membida projek bernilai US$6 bilion berbanding nilai bidaan yang sama bagi keseluruhan tahun lepas.

“Kami merekodkan 20 peratus kadar kejayaan bidaan daripada projek bernilai US$6 bilion yang kami bida tahun lepas, dan ini merupakan peningkatan daripada 14 peratus yang dicapai pada 2017.

“Jadi, kami harap jumlah itu akan bertambah pada 2019,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan MISC di sini, hari ini.

Yee berkata pihaknya tidak mengalami kekurangan peluang sebaliknya perlu bersikap memilih memandangkan setiap projek melibatkan pelaburan yang besar.

Beliau berkata, justeru itu, penilaian ketat untuk memilih kontrak kerja yang tepat adalah penting dalam memastikan syarikat dapat melaksanakan dan menyelesaikannya.

MISC, katanya, kini dalam proses membuat tiga hingga empat bidaan.

Pada Februari, dilaporkan bahawa MISC dan Malaysia Marine & Heavy Engineering Holdings Bhd (MMHE) merupakan pesaing utama bagi dua kontrak penting daripada pembangunan medan minyak dan gas Limbayong, Sabah oleh Petronas Carigali.

Ketika ditanya mengenai perkembangan itu, Yee berkata: “tender itu masih terbuka dan akan ditutup pada akhir bulan ini.”

Firma penyelidikan berkata ia menjangkakan MISC akan memenangi projek itu bagi kerja carter kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemindahan apungan (FPSO), manakala syarikat 66.5 peratus miliknya, MMHE, mungkin memperolehi kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan, pemasangan dan pengoperasian.

Sebanyak 35 peratus daripada perolehan MISC tahun lepas adalah daripada projek berkaitan Petronas.

MISC yang merupakan syarikat 62.7 peratus milik Petronas.

Mengenai prospek, Yee berkata 2019 akan menjadi satu lagi tahun mencabar bagi pasaran perkapalan.

“Pertumbuhan permintaan minyak mentah yang diangkut melalui kapal laut dijangka terjejas berikutan pengumuman Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum bagi mengurangkan pengeluaran selain ketidaktentuan geopolitik,” katanya.

Dari segi segmen gas asli cecair (LNG), beliau berkata syarikat dijangka terus meraih manfaat daripada pengukuhan pada 2018, disokong oleh permintaan Asia, tambahan bekalan daripada projek pencecairan baharu dan peningkatan jumlah kapal LNG yang perlahan pada 2019.

“Ketika kadar serta-merta (diperolehi bagi mengangkut barangan melalui pengangkutan laut atau udara) mencapai angka tertinggi dalam tempoh sejak sekian lama semasa akhir 2018 namun pengekalan kadar itu masih tidak menentu pada 2019.

“Bagaimanapun, portfolio carter jangka panjang sedia ada yang ditetapkan akan menaja jamin prestasi kukuh unit penghantaran LNG MISC pada tahun kewangan akan datang,” katanya.

Segmen luar pesisir akan menyaksikan aktiviti cari gali serta pengeluaran minyak dan gas yang baik kali gus syarikat akan menambah dua lagi aset baharu pada 2019 demi mencatatkan pertumbuhan pendapatan positif,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top