Sunday , 20 May 2018

Home » Bisnes » Misi MATRADE teroka pasaran India

Misi MATRADE teroka pasaran India

April 23, 2018 3:04 pm Category: Bisnes A+ / A-
Misi MATRADE teroka pasaran India

NEW DELHI,. Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), akan menganjurkan misi perdagangan ke India bagi meneroka bidang baharu untuk meningkatkan eksport.

Eksport Malaysia ke India meningkat 4.1 peratus kepada AS$ 8.04 bilion tahun lalu. Ini menjadikan India sebagai destinasi eksport kelapan terbesar negara.

Misi Pemecut Eksport Malaysia (EAM) ke New Delhi akan berlangsung dari 13 hingga 15 November dengan tumpuan ke atas sektor seperti bahan binaan, makanan dan minuman, perabot, perkakasan rumah, produk teknologi hijau dan peluang francais.

“Objektif EAM adalah untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan ke India dengan menyediakan platform untuk syarikat Malaysia meneroka dan mengenal pasti peluang-peluang baharu perniagaan menerusi mesyuarat serta lawatan,” kata Mazlan Harun, Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Mumbai, kepada BERNAMA.

“Sektor ini dipilih bukan hanya berdasarkan kepakaran Malaysia, malah disebabkan permintaan dan arah aliran di India. Berikutan peningkatan kelas menengah dan kuasa membeli dan pilihan ke atas produk import berkualiti, permintaan semakin meningkat dalam produk seperti makanan dan minuman serta perkakasan rumah,” katanya.

Beliau berkata syarikat Malaysia yang berminat untuk menyertai misi perdagangan itu boleh menghubungi ibu pejabat MATRADE di Kuala Lumpur atau mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web syarikat itu.

Dagangan dua hala mendapat dorongan besar susulan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA) dan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-India (AIFTA). – BERNAMA

scroll to top