Friday , 14 December 2018

Home » Bisnes » MITI pantau perang perdagangan AS-China

MITI pantau perang perdagangan AS-China

July 19, 2018 7:43 am Category: Bisnes A+ / A-
MITI pantau perang perdagangan AS-China

KUALA LUMPUR,. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menubuhkan satu pasukan petugas pada bulan ini sebagai usaha memantau dan menilai perkembangan konflik dagangan membabitkan Amerika Syarikat (AS) dan China.

Dalam satu kenyataan hari ini, MITI berkata pasukan petugas itu akan merangka strategi bagi meringankan impak daripada perlindungan perdagangan terbabit.

“Ia juga bertujuan memantau dan menyelaraskan maklum balas daripada pelbagai pemegang kepentingan terhadap peningkatan konflik perdagangan AS-China.

“Pasukan petugas itu akan turut bertindak sebagai titik tumpuan buat pihak berkepentingan untuk menyampaikan pandangan, komen, dan maklum balas mereka.

“Syarikat yang beroperasi di Malaysia digalakkan untuk berhubung dengan pasukan petugas itu mengenai sebarang cabaran dihadapi mereka disebabkan ketegangan perdagangan yang sedang berlangsung kini.

“Pasukan petugas itu boleh dihubungi di [email protected],” katanya.

Mengulas lanjut MITI berkata, kerajaan akan terus bekerjasama dengan semua negara untuk memastikan dasar perlindungan bukan menjadi dasar pilihan di mana-mana negara.

“Malaysia juga akan menggariskan kebimbangan kami di forum ASEAN dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) mengenai perkara ini.

“Semua negara sepatutnya berhenti menyebarkan dasar perlindungan ini dan sebaliknya aktif berhubung dalam mencari langkah penyelesaian terbaik dan menyelesaikan isu perdagangan menerusi dialog pelbagai hala seperti Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

“Ini adalah untuk memastikan bahawa dasar perdagangan dapat dilaksanakan dengan berkesan dalam mengukuhkan sistem perdagangan pelbagai hala,” katanya.

MITI berkata, konflik perdagangan tidak pernah menjadi langkah yang bermanfaat bagi mana-mana negara kerana sekatan perdagangan dan tindak balas kepadanya akan menyakiti semua pihak, terutama negara kecil.

Menurut MITI, konflik itu bukan sahaja menjejaskan AS dan China, tetapi juga mencetuskan tindak balas daripada banyak negara lain yang terkesan.

“Antara tindak balas itu adalah pelancaran siasatan keselamatan oleh Kesatuan Eropah (EU) pada bulan Mac 2018 terhadap 23 produk besi dan keluli dan diikuti oleh Turki terhadap banyak produk besi dan keluli pada Mei 2018.

“Ia tidak berhenti di situ kerana Kanada juga menimbangkan untuk mengenakan kuota dan tarif untuk menghentikan kenaikan import keluli asing yang beralih dari AS.

“Melihat kepada trend yang mengejutkan ini, kitaran perlindungan yang zalim akan berlaku dan menimbulkan ancaman kepada perdagangan dunia,” katanya.

scroll to top