Friday , 17 August 2018

Home » Dunia » Mosanto diarah bayar RM1.1 bilion kepada pesakit barah

Mosanto diarah bayar RM1.1 bilion kepada pesakit barah

August 11, 2018 3:39 pm Category: Dunia A+ / A-
Mosanto diarah bayar RM1.1 bilion kepada pesakit barah

SAN FRANCISCO,. Syarikat kimia gergasi Amerika Syarikat, Mosanto, diarah membayar hampir AS$290 juta (RM1.1 bilion) semalam kerana gagal memberi amaran kepada seorang penjaga padang bahawa racun pembunuh rumpai, Roundup, mungkin boleh menyebabkan barah.

Juri sebulat suara mendapati Mosanto, yang akan memfailkan rayuan, bertindak ‘jahat’ dan Roundup dan versi profesional, RangerPro, menyebabkan penyakit membawa maut dihidapi Dewayne Johson.

Berikutan lapan minggu prosiding perbicaraan, juri San Francisco mengarahkan Mosanto membayar AS$250 juta (RM1.02 bilion) sebagai ganti rugi punitif selain pampasan dan kos lain, menjadikan angka keseluruhan hampir AS$290 juta.

Johnson, bertugas sebagai penjaga padang didiagnos pada 2014 menghidap limfoma bukan Hodgkin, barah yang menjejaskan sel darah putih, berkata beliau berulang kali menggunakan Roundup ketika bertugas di sekolah di Benicia, California.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada juri.

“Saya gembira berada di sini kerana matlamatnya lebih besar daripada saya sendiri.

“Semoga perkara ini mendapat perhatian sewajarnya,” kata Johnson, 46, selepas keputusan dikeluarkan.

Johnson, yang menahan tangisan, ketika keputusan dibacakan, mengelap air mata, begitu juga beberapa juri, apabila bertemu dengan panel selepas itu.

Saman dikemukakan berdasarkan penyelidikan 2015 oleh Agensi Penyelidikan Barah Antarabangsa, sebahagian unit Pertubuhan Kesihatan Sedunia, yang menyatakan bahan utama Roundup, glyphosate, sebagai kemungkinan carcinogen.

— AFP

scroll to top