Thursday , 18 October 2018

Home » Sukan » Mourinho pening aksi pemain

Mourinho pening aksi pemain

September 23, 2018 8:22 am Category: Sukan A+ / A-
Mourinho pening aksi pemain

Jose Mourinho

LONDON,. Jose Mourinho kehilangan kata-kata untuk menjelaskan bagaimana Manchester United terlepas tiga mata penting selepas sekadar meraih satu mata apabila diikat Wolves 1-1 di Old Trafford, malam tadi.

Namun begitu, bekas pengurus Real Madrid itu enggan menuding jari ke arah pemain semata-mata selepas sukar menembusi benteng pelawat yang jelas berdisiplin sepanjang 90 minit aksi itu.

“Mereka (Wolves) layak meraih mata di sini dan kami perlu menerima hakikat hanya mampu meraih satu mata saja di gelanggang sendiri.

“Saya lihat pemain lawan bermula baik, mereka menampilkan persembahan cukup agresif untuk memberi tekanan kepada kami. Malah, kesungguhan Wolves amat terserlah dalam aksi ini berbanding kami.

“Saya mengharapkan permainan yang lebih baik daripada jentera serangan pasukan. Jelas sekali kami buntu, tidak kreatif dan tidak dinamik,” katanya yang mengakui cukup hampa dengan keputusan itu.

United yang memulakan kempen Kumpulan H, Liga Juara-Juara Eropah dengan nota kemenangan menewaskan kelab Switzerland, Young Boys 0-3 bagaimanapun gagal meneruskan rentak sama dalam saingan liga domestik.

Meskipun bermula agak baik apabila mendahului menerusi jaringan Fred pada minit ke-18, kedudukan itu kemudian dipadamkan Joao Moutinho di babak kedua, untuk memastikan pelawat tidak pulang hampa pada kunjungan kali ini.

“Satu perkara yang jelas ialah kami menguasai perlawanan hampir 60 peratus, namun ketumpulan jentera serangan sekali lagi menghampakan.

“Deretan peluang gagal diterjemahkan ke bentuk jaringan dan akhirnya kami terpaksa menerima keputusan ini dengan hati terbuka dan cuba bangkit dalam aksi berikutnya,” katanya.

Skuad The Red Devils kini berada di tangga keenam carta Liga Perdana dengan mengumpul 10 mata.

– AFP

scroll to top