Sunday , 20 May 2018

Home » Bisnes » MTDC wajibkan penerima dana ikuti latihan TENTRA

MTDC wajibkan penerima dana ikuti latihan TENTRA

February 12, 2018 3:18 pm Category: Bisnes, Nasional A+ / A-
MTDC wajibkan penerima dana ikuti latihan TENTRA

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Datuk Latt Shariman Abdullah (lima dari kanan) bergambar bersama penerima dana CRDF dan TAF di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR,. Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) mewajibkan semua syarikat yang menerima dana daripada organisasi itu perlu mengikuti latihan di Akademi Latihan Teknopreneur (TENTRA) bermula tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Latt Shariman Abdullah, berkata ia bermatlamat melatih usahawan yang berpotensi untuk berkembang dan berdaya tahan selari dengan inisiatif Revolusi Industri 4.0 yang diumumkan kerajaan tahun lalu.

Katanya, tempoh latihan akan ditentukan oleh MTDC bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan membabitkan latihan berstruktur antaranya ‘Mentor Speed Dating’, pemasaran dan pemerkasaan bakat.

“Kami percaya syarikat yang terbabit dalam pembangunan teknologi baharu di pasaran memerlukan struktur dan langkah yang berkesan untuk berkembang pesat.

“Syarikat ini boleh menjalani latihan sama ada secara fizikal atau maya di pusat teknologi MTDC,” katanya pada majlis penyerahan cek kepada penerima dana CRDF dan TAF di sini, hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak sembilan syarikat menerima sebanyak RM20 juta menerusi Dana Perkomersialan Penyelidikan dan Pembangunan (CRDF) dan satu syarikat Dana Perolehan Teknologi (TAF) bernilai RM2 juta.

Projek CRDF dan TAF membabitkan pelbagai sektor termasuk bioteknologi, akuakultur, minyak dan gas, robotik dan kesihatan.

Latt Shariman berkata, MTDC juga akan membantu 10 syarikat berpotensi ini untuk disenaraikan di pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) Bursa Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Kita perlu bersedia dan menyokong syarikat pemula niaga dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menerusi pelbagai dana dan pelaburan bagi membantu ia berkembang sekali gus mencapai hasrat Industri 4.0.

“Jika kita tidak bertindak untuk menuju ke arah Industri 4.0, sudah tentu kita akan ketinggalan jauh di belakang,” katanya.

MTDC yang menerima mandat daripada kerajaan untuk menguruskan modal teroka menerima 130 permohonan bagi dana CRDF dan TAF tahun lalu.

Daripada jumlah itu, MTDC meluluskan sebanyak RM38 juta bagi dana CRDF dan RM6.4 juta bagi TAF membabitkan 42 projek termasuk 10 projek yang diumumkan pada hari ini.

Tahun ini, MTDC memperuntukkan sebanyak RM170 juta membabitkan enam dana di bawah MTDC iaitu CRDF, TAF, Dana Pembangunan Teknologi Halal (HTDF), Dana Pemulaan Perniagaan (BSF), Dana Perkembangan Perniagaan (BGF) dan Dana Pengembangan Perniagaan (BEF) dengan sasaran membabitkan 30 hingga 40 syarikat.

Sebanyak 600 syarikat menerima dana dari MTDC sejak 1997.

scroll to top