Thursday , 15 November 2018

Home » Nasional » Muhammad Shafee dibenar diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin

Muhammad Shafee dibenar diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin

September 14, 2018 7:43 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Muhammad Shafee dibenar diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin

KUALA LUMPUR,. Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri dibenarkan diikat jamin RM1 juta dengan dua penjamin oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim Azura Alwi turut membenarkan permohonan peguam Harvinder Singh, yang mewakili Muhammad Shafee supaya jaminan sebanyak RM500,000 dibayar pada hari ini dan baki selebihnya diselesaikan pada 18 Sept ini.

Hakim itu turut memerintahkan Muhammad Shafee untuk menyerahkan dua pasport iaitu antarabangsa dan diplomatik kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 2 Okt ini untuk sebutan semula kes.

Pada awal prosiding, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan peguam kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mengetuai pasukan pendakwaan memohon izin daripada mahkamah supaya keempat-empat pertuduhan dibacakan kepada Muhammad Shafee, yang berada di dalam kandang tertuduh dengan tangannya tidak bergari.

Sebaik sahaja kesemua pertuduhan itu dibacakan jurubahasa secara berasingan, Muhammad Shafee, 66, yang memakai kemeja putih dan bersut hitam mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan berkenaan.

Jurubahasa: Adakah Tan Sri faham pertuduhan

Muhammad Shafee: Faham.

Jurubahasa: Adakah Tan Sri mengaku salah atau tidak mengaku salah

Muhammad Shafee: Tidak mengaku salah.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib kemudiannya mencadangkan jaminan sebanyak RM2.5 juta dengan dua penjamin terhadap peguam terkenal itu serta dua pasport miliknya diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Harvinder memohon bagi pihak anak guamnya dibebaskan secara bon peribadi dengan tiada jumlah jaminan di bawah Seksyen 387 Kanun Acara Jenayah.

“Anak guam saya berdiri sebagai seorang peguam hampir 39 tahun, Timbalan Pendakwaraya selama enam tahun dan bertindak sebagai entiti kerajaan dan bukan kerajaan di mahkamah. Jika anda google, anda boleh lihat lebih 100 kes yang beliau kendalikan.

“Semalam, beliau (Muhammad Shafee) berada di Johor Bahru pada sebelah pagi dan pulang pada pukul 6.30 petang dan menemui beberapa orang… dan hari ini beliau terbang ke Pulau Pinang untuk mengendalikan kes-kes SOSMA,” katanya dan menambah bahawa anak guamnya adalah seorang lelaki yang dikenali sibuk di mahkamah.

Harvinder berkata, ini satu kes yang luar biasa kerana anak guamnya mempunyai 39 tahun pengalaman dalam bidang perundangan yang perlu dipertimbangkan oleh mahkamah.

Beliau berkata, ikat jamin berjumlah RM2.5 juta yang dicadangkan oleh pihak pendakwaraya adalah terlalu tinggi dan mencadangkan agar mahkamah memberi ikan jamin antara RM500,000 ke RM600,000.

Sri Ram menjawab bahawa kes itu berkepentingan awam dan untuk membebaskan tertuduh atas bon peribadi boleh dianggap sebagai menghina orang awam.

“Ia satu kesalahan yang serius. Tidak ada unsur politik di sini… dia (Muhammad Shafee) bukanlah seorang politik. Arahan saya agar beliau tidak diberi layanan istimewa,” kata Sri Ram.

Ahmad Akram turut berhujah bahawa pihak pendakwaan mencadangkan jumlah jaminan yang tinggi bagi menunjukkan tertuduh rasa dia perlu bertanggungjawab untuk hadir ke mahkamah.

Muhammad Shafee yang berdiri di kandang orang kena tuduh kemudian menjelaskan kepada mahkamah yang beliau tidak pernah mengelak dari ditangkap oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, tiada siapa pun boleh pergi berjalan dalam atau luar negara tanpa tempahan tiket.

“Saya balik dari Johor Bahru kira-kira 6.00 petang. Jika ada pegawai SPRM menunggu saya, mereka sudah tentu boleh nampak saya. Seorang pegawai SPRM bertanya saya jenis kereta yang saya naik.., malah kelawar yang buta pun boleh nampak kereta berkenaan. Saya masih tidak menukar kereta.

“Saya segera makan malam dan pergi berjumpa Najib di Pavilion bagi perkara lain. Telefon saya rosak dan saya beri nombor telefon anak perempuan saya kepada pegawai SPRM, agar dia boleh menghubungi anak saya,” katanya dari kandang orang kena tuduh.

Muhammad Shafee juga berkata bahawa dakwaan yang beliau menggunakan silap mata terhadap SPRM adalah tidak adil.

Pada ketika itu Azura mencelah dan berkata”itu sahaja Tan Sri”.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Muhammad Shafee didakwa telah melibatkan diri dengan pengubahan wang haram iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Abd Razak yang telah dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, J2 & K1, Taman Tunku, Bukit Tunku dekat sini pada 13 Sept 2013 dan 17 Feb 2014.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut dua pertuduhan berkaitan Akta Cukai, tertuduh didakwa melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada akitiviti haram iaitu dengan membuat suatu penyata yang tidak betul yang bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Dis 2013 dan 31 Dis 2014.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa meninggalkan pendapatan yang telah diterima pada 13 Sept, 2013 berjumlah RM4.3 juta dan pendapatan yang diterima pada 17 Feb 2014 berjumlah RM5.2 juta melalui dua keping cek AmIslamic Bank Berhad milik Mohd Najib Hj Abd Razak yang dimasukkan ke dalam dua akaun CIMB Bank Berhad milik tertuduh, yang mana tertuduh dikehendaki oleh Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk membuat penyata bagi pihak tertuduh.

Muhammad Shafee didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA

scroll to top