Friday , 22 June 2018

Home » Sukan » Nadal tak berminat kejar rekod Federer

Nadal tak berminat kejar rekod Federer

June 11, 2018 11:06 am Category: Sukan A+ / A-
Nadal tak berminat kejar rekod Federer

Rafael Nadal

PARIS,. Rafael Nadal mengakui bahawa tidak berminat untuk bersaing dengan Roger Federer bagi mengatasi rekod hebat 20 gelaran Grand Slam milik musuh ketatnya itu.

Nadal merangkul kejuaraan Terbuka Perancis ke-11 hasil kemenangan 6-4, 6-3, 6-2 ke atas Dominic Thiem semalam bagi menambah koleksi gelaran ke-17 keseluruhan.

Dia kini hanya ketinggalan tiga kejuaraan berbanding Federer yang berusia empat tahun lebih tua. Bagaimanapun Nadal, 32, menyatakan dia tidak mengambil kisah mengenai perkara itu sebaliknya hanya mahu berhati-hati selepas ditimpa kecederaan sehingga tidak dapat beraksi dalam sembilan kejohanan Grand Slam.

“Saya tidak pernah mengejar sasaran seperti ini,” kata Nadal. “Anda tidak boleh selalu berasa kecewa jika ada orang lain mempunyai lebih banyak wang daripada anda, rumah lebih besar daripada anda, jika seseorang menang lebih banyak Grand Slam daripada anda.

“Anda tidak boleh hidup dengan perasaan seperti itu. Semestinya saya gembira jika mempunyai 20 gelaran seperti Federer selepas ini atau lebih lagi tapi itu bukan yang saya fikirkan.”

Malah tahun ini, masalah kecederaan terus menghantui Nadal apabila kecederaan pinggul menyaksikannya terpaksa menarik diri di suku akhir Terbuka Australia menentang Marin Cilic.

Dia terlepas saingan di Utara Amerika musim ini dan hanya kembali beraksi di gelanggang tanah liat dalam saingan Eropah.

Semalam, dia hampir tidak dapat meneruskan permainan pada set ketiga kerana kekejangan pada jari sehingga menjejaskan aliran darahnya. “Ia menakutkan,” katanya.

Nadal merancang untuk kembali semua ke Paris pada 2019 dan memburu gelaran ke-12 Roland Garros.

– AFP

scroll to top