Friday , 22 June 2018

Home » Bisnes » ‘Nafas’ baharu industri perumahan

‘Nafas’ baharu industri perumahan

June 12, 2018 11:42 am Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
‘Nafas’ baharu industri perumahan

KUALA LUMPUR,. Sektor pembinaan yang menjadi salah satu pengukur kepada kadar pertumbuhan ekonomi serta pembangunan negara memerlukan kaedah pembinaan lebih mampan dan cekap.

Di negara lebih maju, Sistem Binaan Berindustri (IBS) dilihat sebagai antara penyelesaian kepada industri yang mempunyai kadar kebergantungan tinggi terhadap tenaga buruh asing dan kurang mahir, sekali gus menyumbang pelbagai gejala sosial keselamatan.

Bagi mewujudkan sektor pembinaan yang lebih produktif dan selamat, Gamuda merevolusikan industri berkenaan dengan membangunkan kilang IBS digital pertama di Malaysia yang terletak di Sepang pada Julai 2016.

Revolusi dirintis Gamuda menerusi IBS digital berteraskan penggunaan robotik itu berupaya memangkin hasrat kerajaan dalam memacu sektor penawaran kediaman mampu milik di negara ini.
12ibs4.transformed
Pengurus Besar Gamuda IBS, Tan Ek Khai, berkata keyakinan itu disokong lonjakan pertumbuhan kapasiti penghasilan syarikat susulan pembinaan kilang kedua berkeluasan 66 ekar (26.7 hektar) dan bernilai RM350 juta yang bakal beroperasi secara automasi robotik sepenuhnya di Banting apabila siap penghujung tahun ini.

“Oleh itu, Gamuda IBS menerusi pengoperasian dua kilang di Sepang dan Banting akan mempunyai 500 tenaga mahir serta kemampuan menghasilkan 8,000 unit kediaman setiap tahun menjelang penghujung 2018.

“Hal ini kerana menerusi sistem reka bentuk IBS digital berteraskan penggunaan robotik, kami boleh membina seunit kediaman dilengkapi semua perincian dengan keluasan 850 kaki persegi (78.97 meter persegi) dalam tempoh satu jam.

“Selain menyingkatkan tempoh pembinaan daripada 36 bulan kepada 24 bulan untuk perumahan strata atau bertingkat tinggi, pelaksanaan projek secara IBS digital hanya memerlukan satu pertiga daripada tenaga buruh berbanding kaedah konvensional,” katanya.

Ek Khai berkata, ia berupaya mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berteraskan pengoperasian manual pada kadar 63 peratus, selain mewujudkan tenaga kerja yang lebih mahir.

Usaha itu, katanya, bakal menyediakan peluang dalam kalangan pekerja untuk meningkatkan kemahiran mereka ke tahap lebih profesional dan relevan dengan penggunaan teknologi bertaraf antarabangsa di kilang IBS.
12ibs5.transformed
Rekod pencapaian baik

Kemampuan menyingkatkan tempoh pembinaan, katanya, menjadi cerminan prestasi Gamuda menyiapkan projek pembangunan berstrata dengan cepat dan mengurangkan kos pembayaran faedah pinjaman kepada bank sehingga 12 bulan.

“Penyewa pula dapat mengurangkan kos pembayaran sewa bulanan pada kadar agak signifikan, justeru ledakan kemajuan dan pertumbuhan Gamuda IBS dapat merealisasikan hasrat kerajaan diterajui Pakatan Harapan untuk membina satu juta perumahan mampu milik serta sewa dalam tempoh dua penggal.

“Kapasiti kedua-dua kilang digital Gamuda IBS mampu memenuhi 30 peratus permintaan perumahan mampu milik di kawasan Lembah Klang, malah kami bersedia menerima permintaan daripada pemaju perumahan lain jika ingin menggunakan teknologi IBS untuk projek mereka.

“Diharapkan kerjasama pemaju lain dapat membantu pihak kerajaan mencapai aspirasi mereka,” katanya.

Ek Khai bagaimanapun berkata, konsep cepat siap tidak bermakna pembeli perlu gusar dengan kualiti pembinaan kerana proses pengeluaran komponen perumahan menerusi IBS digital dilakukan dalam persekitaran tertutup, malah penggunaan teknologinya dapat menghasilkan lantai, dinding, tiang serta konkrit pratuang berkualiti tinggi, mengikut spesifikasi dan kehendak pelanggan.
FormatFactory12ibs2.transformed
Kediaman berkualiti tinggi

Ek Khai menjelaskan, Kumpulan Gamuda mempunyai rekod berprestasi yang cemerlang untuk membuktikan kewibawaan mereka sebagai pembina dengan rekod reputasi tinggi.

Kumpulan itu, katanya, telah dan sedang membina beberapa projek perumahan mampu milik seperti projek Rumah Selangorku (RSKU) di Jade Hills, Kajang yang siap dalam tempoh 12 bulan pada Disember lalu dan RSKU di Kundang Estates, Rawang dalam tempoh 6 bulan.

Berteraskan teknologi IBS, katanya, Gamuda boleh menyiapkan 714 unit perumahan merangkumi tiga blok dan 18 tingkat di Jade Hills, manakala 280 unit perumahan dalam satu blok 12 tingkat di Kundang Estates yang hanya mengambil masa selama enam bulan umpama pembinaan lego.

“Bayangkan sebuah set Lego gergasi di mana proses konkrit pratuang dilakukan secara rapi setiap hari, justeru kontraktor dapat memasang serta menyiapkan struktur asas satu tingkat dalam masa seminggu sahaja.

“Antara projek perumahan mampu milik lain yang sedang dibina, termasuk 864 unit projek PKNS di Cyber Valley,” katanya.

Mengulas perkembangan pembinaan kilang IBS kedua Gamuda yang dijangka siap akhir tahun ini, Ek Khai berkata, premis berkenaan mampu menawarkan pelbagai produk lain, termasuk pod bilik mandi berkualiti tinggi yang berupaya disiapkan dalam kilang sebelum dihantar dan dipasang sebagai unit lengkap.

Katanya, penghasilan pod bilik mandi tidak terhad hanya untuk bangunan bertingkat, sebaliknya unit bilik mandi berkelengkapan serba moden dan mewah turut berupaya dihasilkan.

“Kumpulan Gamuda yakin bahawa kita mampu memenuhi permintaan berskala tinggi kerana teknologi IBS ini bukan sahaja dapat membina bangunan berstrata, malah hartanah lain seperti perumahan mewah dan kemudahan awam seperti bangunan letak kenderaan, hospital, sekolah, kilang serta pusat komersial.

“IBS adalah kaedah terbaik mengurangkan masa pembinaan, pembaziran dan pencemaran alam sekitar, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan, kecekapan serta kemahiran,” katanya.
12ibs1.transformed
Program Transformasi Industri Pembinaan

Berbanding kaedah konvensional, katanya, IBS digital dirintis dan dipelopori Gamuda ketika ini menepati kesemua empat teras strategik Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020 yang merangkumi pembinaan digital, pengurangan tenaga kerja asing, kemampanan alam sekitar serta peningkatan produktiviti sebanyak 2.5 kali.

“Kedua-dua kilang ini menggabungkan penggunaan Permodelan Maklumat Bangunan (BIM), automasi robotik pembuatan separa bahan dan penyampaian projek melalui platform digital (CDE), sekali gus bakal menjadi pemangkin ke arah sektor pembinaan yang relevan serta berdaya saing pada peringkat global.

“Selain kediaman yang berkualiti, berkeluasan besar tanpa rusuk serta siling tinggi yang mengikut cita rasa terkini dalam kalangan pembeli, IBS digital berupaya mengurangkan kadar pembaziran bahan binaan kepada kurang daripada satu peratus, berbanding antara tujuh dan lapan peratus sebelumnya,” katanya.

Bagi golongan pekerja pula, Ek Khai berkata, teknologi moden dalam industri IBS digital menyediakan persekitaran kerja yang selamat kerana kebanyakan tugas berat dikendalikan robot dan mesin berkuasa tinggi, manakala kawasan pembinaan lebih senyap, kemas serta bersih daripada sisa bahan binaan.

“Pekerja ditempatkan di Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) seperti premis dilengkapi pelbagai kemudahan yang disediakan untuk kakitangan projek MRT kerana kami mementingkan keselamatan dan kemudahan mereka,” katanya.

Tingkat kemahiran tempatan

Seiring rangkaian perubahan berikutan tempias Revolusi Industri 4.0, Ek Khai berkata, penerapan kaedah IBS digital berupaya memacu kemahiran tenaga kerja tempatan menerusi penggunaan automasi, sekali gus mengubah mentaliti rakyat Malaysia dalam menceburi kerjaya sukar, kotor dan berbahaya atau ‘3D’.

Sehubungan itu, katanya, dasar pengambilan pekerja di Gamuda IBS turut mencakupi penuntut vokasional yang dilahirkan daripada Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

scroll to top