Wednesday , 22 August 2018

Home » Dunia » Najib bertemu PM Australia, Turnbull

Najib bertemu PM Australia, Turnbull

March 17, 2018 10:57 am Category: Dunia, Nasional A+ / A-
Najib bertemu PM Australia, Turnbull

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bersalaman dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Sydney menjelang Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2018 yang akan bermula pada petang Sabtu. - Foto BERNAMA

SYDNEY,. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pagi ini mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull.

Pertemuan itu, yang berlangsung kira-kira 30 minit, diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Sydney menjelang Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2018 selama dua hari yang akan bermula pada petang ini.

Antara lain, kedua-dua pemimpin membincangkan isu pertahanan, pendidikan, kerjasama perdagangan dan pelaburan serta kerjasama serantau dalam memerangi keganasan.

Yang turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan rakan sejawatannya Julie Bishop.

Najib dijadualkan menyampaikan ucaptama pada majlis penutup Persidangan Pencegahan Keganasan petang ini.

Najib satu-satunya pemimpin ASEAN yang dijemput untuk menyampaikan ucapan pada segmen penutup persidangan itu. Pemimpin lain yang akan berucap pada persidangan itu ialah Turnbull.

Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2018 dianjurkan untuk membincangkan hala tuju masa depan dan kerjasama antara ASEAN dan Australia.

Selain itu, sidang kemuncak khas berkenaan juga diadakan untuk memperingati peningkatan hubungan ASEAN-Australia ke taraf rakan strategik.

Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia terdiri daripada tiga sesi iaitu Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN-Australia, Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-Australia dan Persidangan Pencegahan Keganasan ASEAN-Australia.

Ini adalah kali pertama Australia menjadi tuan rumah sidang kemuncak bersama semua pemimpin ASEAN.

– BERNAMA

scroll to top