Sunday , 16 December 2018

Home » Nasional » Najib teruja dengan Pameran DSA, Natsec Asia 2018

Najib teruja dengan Pameran DSA, Natsec Asia 2018

April 17, 2018 9:17 am Category: Nasional A+ / A-
Najib teruja dengan Pameran DSA, Natsec Asia 2018

KUALA LUMPUR,. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak jelas teruja dengan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2018 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di sini hari ini.

Ketibaan Najib pada kira-kira pukul 3.30 petang di Mitec disambut Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi.

Beliau turut diiringi Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum, Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Najib meluangkan masa selama 45 minit meninjau pameran yang bermula hari ini dan akan berakhir pada Khamis ini, melibatkan 1,500 pempamer dari dalam dan luar negara selain mencuba beberapa peralatan pertahanan.

Antara tapak pameran yang beliau lawati ialah milik syarikat DRB-Hicom Defence Technology Sdn Bhd yang menyediakan perkhidmatan berkaitan penghasilan kenderaan berperisai dan logistik tentera.

Beliau turut dibawa melihat peralatan-peralatan pertahanan dan keselamatan yang lain seperti replika kapal terbang, peralatan menembak dan sistem pertahanan ketenteraan terkini.

Terdahulu, Najib meluangkan masa selama 10 minit mendengar taklimat di ruang pameran tentera darat berhubung program ‘Network Centric Operation’ (NCO) yang berupaya mempertingkatkan keberkesanan perintah dan kawalan kepada pelbagai operasi dan aktiviti di medan.

Bilik operasi NCO itu turut dilengkapi dengan pelbagai paparan operasi dan komunikasi dua hala secara tepat masa.

Pameran itu menghimpunkan kira-kira 1,500 syarikat berkaitan pertahanan dan 350 anggota delegasi asing dari 45 negara.

Pameran yang dijangka menarik 40,000 pelawat itu menjadi platform kepada pengurusan tertinggi pertahanan dan keselamatan di seluruh dunia untuk bertukar-tukar idea selain memberi peluang kepada penggiat industri untuk memasarkan produk masing-masing.

Majlis pembukaan DSA edisi ke-16 itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam.

DSA merupakan acara dwitahunan yang diadakan sejak tahun 1988.

— BERNAMA

scroll to top