Monday , 24 September 2018

Home » Sukan » Naomi juara termuda Indian Wells

Naomi juara termuda Indian Wells

March 19, 2018 1:34 pm Category: Sukan A+ / A-
Naomi juara termuda Indian Wells

Daria Kasatkina (kiri) dan Naomi Osaka bersama trofi dimenangi pada final BNP Terbuka Paribas. - Foto AFP

INDIAN WELLS,. Amerika Syarikat: Pemain tenis Jepun, Naomi Osaka meraih gelaran pertamanya dengan kemenangan 6-3 6-2 ke atas pemain Russia Daria Kasatkina dalam pertarungan membabitkan dua pemain berusia 20 tahun di BNP Terbuka Paribas awal pagi tadi.

Pemain bukan pilihan berketurunan Haiti-Jepun menjadi juara termuda Indian Wells selepas kejayaan Ana Ivanovic sedekad lalu. Dia hanya tewas satu set dalam kejohanan itu.

Naomi menewaskan Maria Sharapova, pilihan kelima Karolina Pliskova dan kemudiannya pemain nombor satu dunia Simona Halep pada separuh akhir untuk melangkah menuju kejuaraan.

Dia memenangi tiga permainan terakhir pada set pertama, sebelum mendominasi set kedua dan memerlukan hanya 70 minit untuk menang.

“Jika anda bekerja keras, anda boleh bermain dengan baik,” kata Naomi, yang beraksi dalam final keduanya selepas menjadi naib juara di Tokyo pada 2016.

“Jika anda cuba dan yakin pada diri sendiri, anda boleh menang.”

Selepas melakukan beberapa kesilapan pada set pertama, pemain muda yang menetap di Amerika Syarikat mula mendominasi perlawanan.

Dia memenangi lima permainan berturut-turut dari kedudukan 3-3 pada set pertama sebelum Daria bangkit pada set kedua.

Mendahului 5-2, Naomi menamatkan aksinya dengan pukulan kilas.

Kemenangan itu bakal membolehkan Naomi naik ke tangga ke-22, apabila ranking dunia baru diumumkan esok.

– Reuters

scroll to top