Saturday , 18 August 2018

Home » Dunia » NASA cari planet seperti Bumi

NASA cari planet seperti Bumi

April 16, 2018 1:20 pm Category: Dunia, Teknologi A+ / A-
NASA cari planet seperti Bumi

Transit Exoplanet TESS,(NASA)

TAMPA,. Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) bersedia melancarkan kapal angkasa bersaiz mesin basuh bernilai AS$337 juta (RM1.31 bilion), meluaskan pencarian planet di luar sistem suria yang mungkin menampung hidupan.

Satelit Peninjau Transit Exoplanet atau TESS, dijadualkan dilancarkan hari ini jam 6.32 petang waktu tempatan dengan roket Falcon 9 SpaceX dari Cape Canaveral, Florida.

Matlamat utamanya untuk dua tahun akan datang ialah mengimbas lebih 200,000 bintang paling terang bagi kewujudan planet yang mengelilinginya dan berkelip secara terang dikenali sebagai transit.

NASA meramalkan, TESS akan menemui 20,000 exoplanet atau planet di luar sistem suria, termasuk lebih 50 bersaiz Bumi dan sehingga 500 lain kurang dua kali ganda saiz Bumi.

“Ia akan mengorbit bintang paling terang terhampir. Kita mungkin menemui planet yang mengorbit bintang dan boleh dilihat dengan mata kasar.

“Jadi untuk beberapa tahun akan datang, kita mungkin boleh berjalan dan menuding ke arah bintang yang memiliki planet. Ini adalah masa depan,” kata saintis TESS di Pusat Penerbangan Angkasa Lepas Goddard, NASA, Elisa Quintana kepada media semalam.

TESS direka susulan misi kapal angkasa lepas Kepler, kali pertama jenisnya dilancarkan pada 2009. Kapal angkasa berusia itu kini kehabisan bahan api dan bakal tamat operasi.

Kepler menemui kumpulan besar exoplanet dengan memfokuskan satu bahagian langit yang mengandungi kira-kira 150,000 bintang seperti matahari.

Misi Kepler menemui 2,300 exoplanet disahkan dan ribuan lagi calon planet namun kebanyakannya terlalu jauh dan malap untuk dikaji dengan lanjut.

– AFP

scroll to top