Wednesday , 19 December 2018

Home » Dunia » NASA hantar helikopter ke Marikh pada 2020

NASA hantar helikopter ke Marikh pada 2020

May 12, 2018 12:17 pm Category: Dunia, Teknologi A+ / A-
NASA hantar helikopter ke Marikh pada 2020

Helikopter Marikh NASA akan mengembara dengan pelan Mars 2020, yang dijadualkan dilancar pada Julai 2020, dipaparkan oleh artis dari NASA / JPL di Pasadena, California, AS. - Foto REUTERS

TAMPA,. Pengurusan Angkasa Lepas dan Aeronautik Nasional (NASA) merancang untuk menghantar helikopter pertama ke Marikh pada tahun 2020 untuk meningkatkan tahap pemahaman manusia terhadap Planet Merah itu.

Dikenali sebagai ‘Helikopter Marikh’, peranti dengan berat kurang daripada 1.8 kilogram itu hanya memiliki saiz sebesar bola lisut.

Ia akan dipasang pada bahagian perut robot Mars 2020, iaitu robot beroda yang dicipta khas untuk menentukan habitat dan persekitaran planet Marikh, mengesan kehidupan, sumber semula jadi dan bahaya untuk penerokaan manusia pada masa akan datang.

Mars 2020 dijangka dilancarkan pada Julai 2020 dan dijangka tiba di permukaan planet Marikh pada Februari 2021.

Pengurus NASA, Jim Bridenstine dalam satu kenyataan berkata, agensi berkenaan memiliki sejarah membanggakan untuk setiap projek pertama yang dilancarkan selama ini.

“Idea untuk melihat helikopter diterbangkan ke cakerawala lain amat mengujakan,” katanya.

Tiada negara lain di dunia pernah menerbangkan helikopter ke Marikh sebelum ini.

– AFP

scroll to top