Tuesday , 20 November 2018

Home » Dunia » NBC, Facebook henti siar kempen anti-pendatang Trump

NBC, Facebook henti siar kempen anti-pendatang Trump

November 6, 2018 12:20 pm Category: Dunia A+ / A-
NBC, Facebook henti siar kempen anti-pendatang Trump

NEW YORK,. Fox News, NBC dan Facebook menghentikan satu kempen iklan bernada perkauman yang menyamakan seorang banduan Mexico dengan pendatang Amerika Tengah yang sedang menuju ke sempadan Amerika Syarikat (AS).

NBC menarik balik iklan berkenaan selepas dikecam kerana menyiarkan kempen itu ketika program “Sunday Night Football” menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS.

Ia disifatkan sebagai satu bentuk pungutan suara terhadap Trump yang berikrar untuk menyekat kemasukan pendatang.

“Selepas penilaian lanjut, kami sedar betapa dalamnya kesan kempen berkenaan dan membuat keputusan untuk menghentikan siarannya di seluruh premis milik kami secepat mungkin,” kata NBC Universal dalam satu kenyataan.

Facebook berkata, iklan itu melanggar dasar pengiklanan rangkaian sosial berkenaan membabitkan kandungan sensasi.

“Kami menolaknya. Walaupun video itu dibenarkan di Facebook, ia tidak boleh menerima pengedaran berbayar,” katanya.

Iklan itu antara lain memaparkan banduan Mexico, Luis Bracamontes, yang akan menjalani hukuman mati selepas membunuh dua pegawai polis di California pada tahun 2014.

Iklan itu turut memaparkan kata-kata seperti ‘Siapa lagi akan dibenar masuk oleh Demokrat’, ‘Demokrat benarkan mereka tinggal di sini’ selain imej pendatang yang sedang dalam perjalanan dari Mexico ke sempadan AS.

Kempen iklan Trump itu mula disiarkan minggu lalu. – AFP

scroll to top