Friday , 14 December 2018

Home » Nasional » Negara kaya punya daya beli tinggi, bukan upah – Dr Mahathir

Negara kaya punya daya beli tinggi, bukan upah – Dr Mahathir

August 13, 2018 10:31 am Category: Nasional A+ / A-
Negara kaya punya daya beli tinggi, bukan upah – Dr Mahathir

PUTRAJAYA,. Negara kaya seharusnya mempunyai rakyat yang punya kuasa beli yang meningkat, bukan hanya kadar gaji atau upah yang tinggi, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata walaupun gaji atau upah dinaikkan hingga 10 atau 25 peratus, namun ia tidak mendatangkan apa-apa kebaikan jika peningkatan itu disusuli dengan kenaikan kos sara hidup.

“Gaji kita lebih tetapi daya beli kita sama dengan sebelum gaji kita dinaikkan,” katanya ketika berucap pada pehimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.

Mengambil contoh sebuah negara jiran, Dr Mahathir berkata walaupun negara tersebut mempunyai kadar gaji atau upah yang tinggi mengikut kadar mata wang mereka, namun negara tersebut bukanlah sebuah negara kaya.

“Tetapi apa guna kita jadi jutawan kalau daya beli kita hanya setakat di tepi jalan sahaja,” katanya.

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata daya beli rakyat juga bergantung kepada produktiviti atau daya keluaran yang meningkat, seiring dengan pendapatan dan upah.

Katanya jika daya keluaran kurang atau masih pada tahap lama walaupun gaji meningkat, kos sara hidup akan terus meningkat kerana barangan lama yang dahulunya murah akan menjadi mahal akibat dihasilkan oleh pekerja bergaji tinggi.

“Kos produksi akan meningkat dan kos sara hidup akan meningkat. Walaupun gaji meningkat hingga 25 peratus tetapi daya beli kita tidak meningkat 25 peratus.

“Dengan itu, kita sekali lagi memohon supaya ditambah gaji dan upah tetapi kalau (gaji) ditambah tanpa daya keluaran meningkat, jumlah wang yang kita dapat tidak akan mempunyai apa-apa makna sekali pun,” katanya.

Justeru, katanya nilai hidup mulia perlu diterapkan dalam diri setiap rakyat terutamanya generasi muda, supaya Malaysia dikenali sebagai negara yang bekerja kuat, tidak mungkir janji atau tidak meminta upah lebih, sebaliknya menumpukan kepada daya keluaran yang tinggi.

“Jika pemerintahan kerajaan dapat memiliki kualiti terbaik dan kerja kita menghasilkan pentadbiran terbaik dalam dunia ini, maka percayalah walaupun kita terpaksa berdiri dalam panas dan mendengar syarahan berleter daripada Perdana Menteri tetapi hasilnya mungkin baik juga,” katanya secara berseloroh.

Mengakui dirinya sudah berusia dan tidak boleh bekerja dalam tempoh lama, Dr Mahathir berkata beliau berharap dapat menyemaikan nilai hidup mulia kepada penjawat awam yang akan menjayakan negara supaya sekali lagi dihormati sebagai ‘Harimau Dunia’.

— BERNAMA

scroll to top